Gandingan Ismail Sabri-Zahid bukti UMNO utama kepentingan negara

Syed Mohd Johan Rizal
Syed Mohd Johan Rizal
A
A
A

ALOR SETAR - Gandingan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti menunjukkan kematangan dalam memastikan pentadbiran negara dan parti lancar.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu jelas membuktikan UMNO sebagai sebuah parti yang matang menolak unsur kepentingan peribadi dalam parti.

Menurutnya, sebaliknya parti itu sentiasa mengutamakan kepentingan parti, rakyat dan masa depan negara.

“Saya harap keputusan itu juga akan menamatkan segala spekulasi atau pertikaian wujudnya perpecahan di peringkat kepimpinan parti dan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, pendirian MKT parti itu membuktikan solidariti dan komitmen kepimpinan tertinggi khususnya presiden dan timbalan presiden terhadap kepimpinan Ismail Sabri sebagai ‘wajah’ yang akan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

“Kita yakin pada kemampuan beliau untuk menjuarai agenda kestabilan demi masa depan rakyat dan negara.

“Keputusan ini sememangnya amat dinantikan segenap lapisan pendukung parti yang mengutamakan kepentingan UMNO, selain mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kelangsungan parti ini yang secara tradisinya membela kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya lagi.

Menurutnya, Pemuda UMNO turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua tokoh terbabit kerana memiliki jiwa besar untuk memikul amanah masing-masing dalam merencanakan hala tuju negara dan parti.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap dengan kemuliaan Ramadan ini, pimpinan dan akar umbi kembali senada bersama pimpinan dengan tekad solidariti terhadap pendirian parti ini. Selain menterjemahkannya melalui penyatuan jiwa untuk memastikan kebangkitan kembali UMNO sebagai peneraju pentadbiran politik negara,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal percaya inilah masa terbaik untuk parti tidak lagi menoleh ke belakang, dan meneruskan agenda untuk mengembalikan negara ke landasan yang sebenar.