Ke Ting kecewa ada pihak salahkan sistem kehakiman

Sam Ke Ting
Sam Ke Ting
A
A
A

PUTRAJAYA - Pesalah kes memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menunggang basikal lajak lima tahun lalu, kecewa apabila ada pihak yang menyalahkan sistem kehakiman selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskannya daripada tuduhan berkenaan, tiga tahun lalu.

Peguam, Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam Ke Ting, 27, berkata, adalah tidak wajar apabila pihak berkenaan mendakwa sistem kehakiman sudah rosak selepas anak guamnya menang di peringkat akhir pendakwaan dan bela diri.

Menurutnya, Ke Ting merupakan seorang yang percaya dengan kedaulatan undang-undang dan akur dengan sebarang keputusan mahkamah.

"Ke Ting berharap masyarakat memandang perkara ini sebagai suatu isu sejagat dan bukannya perkauman.

"Jika kita pandang kes ini mengikut isu sejagat, mana-mana yang menang, sama ada didapati bersalah atau dibebaskan, yang menang adalah rakyat Malaysia, bukan perjuangan individu atau peribadi Ke Ting," katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin.

Selain itu beliau berkata, semasa memberi keterangan bela diri di Mahkamah Majistret, Ke Ting berkali-kali mengucapkan rasa simpati terhadap kehilangan ahli keluarga yang terlibat.

Menurutnya, Ke Ting memperjuangkan kebebasan yang dirasakan sangat berharga dan mesti dibayar dengan harga yang mahal.

Jadi dalam kes ini beliau berkata, anak guam membayar (kebebasan) dengan hukuman pemenjaraan.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan di sini membenarkan Ke Ting untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak, lima tahun lalu.

Ke Ting ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Dalam kejadian itu, lapan remaja maut terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.