Harap Izzah timbang semula keputusan

Nurul Izzah
A
A

IPOH - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar diminta mempertimbang semula hasratnya berkhidmat sebagai wakil rakyat untuk tempoh sepenggal sahaja lagi.

Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana bekas Naib Presiden PKR itu telah banyak menyumbang dan memainkan peranan penting dalam mencorak perjalanan parti.

Menurutnya, sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen juga, Nurul Izzah telah menjalankan tugas wakil rakyat dengan baik.

"Saya akui kecewa dengan keputusan dibuat itu, masih ada ruang sekurang-kurangnya tiga ke empat tahun lagi sebelum PRU akan datang, jadi saya harap beliau dapatlah pertimbangkan semula.

ARTIKEL BERKAITAN: Ini penggal terakhir saya jadi Ahli Parlimen - Nurul Izzah

"Walaupun terdapat pandangan-pandangan tertentu, adalah lebih baik jika kita dapat duduk berbincang secara dalaman dan berusaha untuk menambah baik apa yang perlu," katanya ketika ditemui pemberita pada program gotong-royong mega menghapuskan denggi di Taman Rapat Setia Baru, hari ini.

Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, luahan Nurul Izzah berhubung kekecewaannya dengan pentadbiran PH adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh semua ketua pimpinan.

"Saya ada berkongsi sedikit sebanyak pandangan dengan beliau tentang apa yang berlaku sepanjang pentadbiran PH dan nampaknya pembaharuan dijanjikan itu tidak 100 peratus dapat ditunaikan.

"Kita ambil perhatian dalam hal ini dan pasginya akan ada perubahan berlaku," katanya.

Terdahulu, media melaporkan anak perempuan sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kecewa dengan pentadbiran PH yang dilihat terlalu perlahan untuk melaksanakan dasar dan reformasi.

Selain menyatakan ini penggal terakhirnya sebagai wakil rakyat, beliau juga mengambil keputusan mengejut apabila meletak jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pada Disember lalu, Nurul Izzah juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR termasuklah Pengerusi PKR Pulau Pinang dan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia.