MBSA, Richwell anjur iftar ala Madinah, sembang sahur

Program itu menyaksikan aktiviti berbuka puasa secara beramai-ramai di atas jalan raya di sekitar Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Zamani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada Program Berbuka Puasa berkonsepkan ‘Iftar Ala Madinah’ dan Sembang Sahur Edisi Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan Sabtu lalu.
Zamani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada Program Berbuka Puasa berkonsepkan ‘Iftar Ala Madinah’ dan Sembang Sahur Edisi Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan Sabtu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Richwell menyumbang sebanyak RM50,000 bagi menganjurkan Program Berbuka Puasa berkonsepkan ‘iftar ala Madinah’ dan Sembang Sahur Edisi Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan Sabtu lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, sebanyak 1,500 bungkus juadah iftar dan 1,000 juadah sahur secara percuma disediakan kepada pengunjung.

Menurutnya, program itu menyaksikan aktiviti berbuka puasa secara beramai-ramai di sekitar kawasan Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

"Antara pengisian program iftar ini adalah Tazkirah Santai oleh pendakwah bebas, Ustaz Fauzi Mustaffa,bacaan tilawah al- Quran oleh qari, Ustaz Ammar Mukhlis dan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Shahrin berkata, selain iftar, MBSA memeriahkan bulan Ramadan menerusi penganjuran Program Sembang Sahur Edisi Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan.

Jelas beliau, program berkonsepkan ‘Street Dakwah’ itu dianjurkan MBSA sejak tahun 2015 bertujuan merapatkan hubungan ukhuwah dan silaturahim di antara MBSA dan pelbagai pihak khususnya warga Shah Alam.

"Program Sembang Sahur turut menampilkan beberapa personaliti seperti Shamsul Ghau-Ghau, PU Amin dan juara tilawah antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah.

"Ia diadakan di beberapa lokasi antaranya di Dataran Kemerdekaan Seksyen 14, Shah Alam, Laman Budaya Shah Alam, Hospital Shah Alam Seksyen 7, Balai Polis Seksyen 9 dan Balai Bomba Seksyen 15 Shah Alam," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shahrin berkata, program itu juga turut menjadi platform MBSA dalam menyampaikan maklumat dan memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai keindahan dan kelebihan bulan Ramadan.

Ujarnya, program yang dihadiri Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor itu merupakan komitmen berterusan pihak MBSA untuk mendekati masyarakat dan menjalinkan kemesraan terutamanya ketika menyampaikan dakwah.

"Pihak MBSA berharap agar program ini dapat meningkatkan penghayatan ibadah di bulan Ramadan kepada masyarakat khususnya generasi muda," katanya.