Polis KL banteras kegiatan jual dadah tepi jalan, pusat hiburan

Antara dadah yang dirampas dalam Ops Gaston di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Antara dadah yang dirampas dalam Ops Gaston di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membanteras kegiatan menjual dadah di tepi jalan dan pusat hiburan didalangi warga tempatan menerusi Ops Gaston dalam lima serbuan berasingan di Lembah Klang pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin berkata, enam individu berusia dari 20 hingga 45 tahun termasuk dalang sindiket berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan dalam serbuan di kawasan kondominium serta pangsapuri.

Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin (tengah)
Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin (tengah)

“Dalam serbuan itu, kami merampas dadah jenis syabu seberat 3.2 kilogram (kg); heroin (8.4 kg); ganja (10.8 kg); pil erimin 5 (3,150 biji atau 0.9 kg) dan ketamin (365 gram).

“Keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 48,594 penagih, dianggarkan bernilai RM386,757. Kami turut menyita wang tunai berjumlah RM2,780,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada Isnin.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai mendapat bekalan dadah di sekitar Lembah Klang sebelum dijual secara kecil-kecilan kepada pelanggan tetap sejak tiga bulan lalu.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjual beberapa jenis dadah secara kecil-kecilan kepada pelanggan tetap mereka di tepi jalan, hotel bajet serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati empat daripada enam suspek berkenaan positif dadah jenis methaphetamin dan ganja. Tiga daripada mereka turut memiliki rekod jenayah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Jasmirol, semua suspek direman tujuh hari bermula dari 15 hingga 21 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.