Naik beca boleh bayar guna e-wallet

Johari (kiri) dan Sulaiman (tiga, kiri) menunjukkan e-wallet sebagai simbolik pelancaran penggunaan e-wallet ketika majlis Bacaan Yasin dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Pengayuh-pengayuh Beca Melaka di Muzium Rakyat, Banda Hilir, di sini, pada Isnin.
Johari (kiri) dan Sulaiman (tiga, kiri) menunjukkan e-wallet sebagai simbolik pelancaran penggunaan e-wallet ketika majlis Bacaan Yasin dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Pengayuh-pengayuh Beca Melaka di Muzium Rakyat, Banda Hilir, di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Pengayuh beca negeri ini yang merupakan Duta Kecil Pelancongan Melaka menjadi yang pertama memanfaatkan aplikasi e-wallet bagi memudahkan pelanggan membuat bayaran perkhidmatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata, setakat ini hampir 80 peratus pengayuh beca telah menggunakan aplikasi ini dan menyasarkan untuk memperluaskan kepada seramai 305 pengayuh beca sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Menurutnya, ia merupakan kaedah mesra pengguna sesuai dengan peredaran zaman sekali gus Beca Melaka antara perkhidmatan beca pertama di Malaysia yang menggunakan aplikasi itu.

"Ini mudahkan pelancong dan pembayaran melalui e-wallet agak senang. Saya rasa mungkin mereka (pengayuh beca) peroleh pendapatan dua kali ganda, sebab dalam situasi sekarang pelancong kebanyakan tak mahu menggunakan secara tunai.

"Jadi kalau lebih mudah, pelancong lebih suka, sebab dalam peralihan fasa ke endemik, orang nak pegang duit agak ragu bimbang penularan Covid-19," katanya.

Sulaiman berkata demikian kepada pemberita selepas Bacaan Yasin dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Pengayuh-pengayuh Beca Melaka di Muzium Rakyat, Banda Hilir, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari, Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka, Datuk Akramudin Abd Aziz dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Saari Basiron.

Sementara itu, pengayuh beca Muhd Izwan Taib, 31 berkata, aplikasi ini membantu menggelakkan mereka daripada sikap boros dan mendidik supaya menabung serta berjimat cermat.

Artikel Berkaitan:

"Lagi mudah tak payah nak pegang wang tunai banyak, malah duit lebih terjamin kerana terus masuk ke dalam akaun bank dan tidak hilang," katanya.

Bagi Mohd Safwan Aziz, inisiatif ini bertepatan dengan peningkatan kedatangan pelancong ke Melaka secara tidak langsung pengayuh beca tidak perlu menyediakan wang kecil bagi memulangkan baki pelanggan.

"Setakat ini ada peningkatan pendapatan dan anggaran RM50 hingga RM100 sehari jadi bertambahlah sedikit pendapatan berbanding sebelum ini.

"Kami berterima kasih kerana memperkenalkan aplikasi ini kepada pengayuh beca kaedah yang lebih selamat," katanya.

Pada pertemuan itu Sulaiman turut menyampaikan Insentif “One-Off” serta Sumbangan Hari Raya sebanyak RM200 kepada setiap pengayuh beca yang hadir.