Sindiket seludup diesel RM1.43 juta tumpas

Sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di sekitar Johor Bahru dan Klang, Selangor tumpas susulan penahanan tiga suspek dan rampasan beberapa kenderaan serta barang di sebuah premis di Masai pada Ahad.- Foto PGA
Sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di sekitar Johor Bahru dan Klang, Selangor tumpas susulan penahanan tiga suspek dan rampasan beberapa kenderaan serta barang di sebuah premis di Masai pada Ahad.- Foto PGA
A
A
A

JOHOR BAHRU - Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menumpaskan satu sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di sekitar Johor Bahru dan Klang, Selangor susulan penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga asing pada Ahad.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya turut merampas empat lori, pam elektrik dan diesel bersubsidi dianggarkan berjumlah RM1.43 juta.

Menurut beliau, kesemua mereka berusia lingkungan 36 hingga 40 tahun ditahan di sebuah premis Taman Kota Puteri, Masai kira-kira jam 12 tengah hari.

"Turut dirampas diesel bersubsidi dengan anggaran nilai keseluruhan 43,000 liter," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas dua mesin 'flow meter' mendapati jumlah diesel yang dipam ke dalam tangki melebihi 1 juta liter.

Diesel dikumpulkan di sebuah premis di Masai sebelum dibawa ke Klang. Foto PGA
Diesel dikumpulkan di sebuah premis di Masai sebelum dibawa ke Klang. Foto PGA

"Siasatan awal yang dilakukan juga mendapati suspek menjual diesel dengan harga RM3.85 per/liter kepada pengguna kapal di sekitar Klang, Selangor.

"Suspek membeli diesel secara pukal mengikut had yang ditetapkan di stesen minyak menggunakan lori kecil lalu dikumpulkan di premis terbabit sebelum dihantar menggunakan lori lebih besar ke Klang. Suspek dipercayai berpakat dengan stesen minyak terpilih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, menerusi tangkapan dan rampasan ini pihaknya berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di sekitar daerah Johor Bahru dan Klang, Selangor.

"Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) Johor untuk tindakan Ianjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.