Gadai nyawa guna lif uzur

Penghuni Blok A termasuk warga emas terpaksa menggunakan tangga susulan lif rosak.
Penghuni Blok A termasuk warga emas terpaksa menggunakan tangga susulan lif rosak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sanggup mengambil risiko menggunakan lif yang berada dalam kondisi tidak selamat daripada mendaki tangga untuk naik ke rumah.

Situasi tersebut dialami penduduk Blok A Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda di sini yang menghadapi isu kekerapan lif rosak disebabkan masalah penyelenggaraan.

Ketua Blok A, Norhazimah Mohamad berkata, dua hari berturut-turut terdapat kes melibatkan penduduk terperangkap di dalam lif.

Norhazimah
Norhazimah

Menurutnya, kes pertama berlaku pada Sabtu ketika waktu berbuka puasa manakala kejadian kedua sekitar jam 12 tengah hari, pada Ahad.

"Terdapat tiga lif di sini dan hanya satu yang berfungsi namun kerap rosak. Sementara dua lagi telah rosak hampir setahun dan tidak digunakan.

"Cuma baru-baru ini, lif tersebut dibaiki dan boleh digunakan namun keadaannya tidak selamat dan rasa bergoyang ketika berada di dalamnya.

"Penduduk terpaksa guna juga walaupun dalam ketakutan kerana tidak sanggup menaiki tangga terutama pada bulan puasa ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Penduduk menunggu lif lebih lama susulan hanya satu lif berfungsi di blok berkenaan.
Penduduk menunggu lif lebih lama susulan hanya satu lif berfungsi di blok berkenaan.

Katanya, penduduk berharap isu penyelenggaraan lif itu dipandang serius kerana melibatkan aspek nyawa penduduk di perumahan 13 tingkat tersebut.

"Lif dibaiki segera namun selepas itu rosak semula. Ada yang baru baiki hari ini, esoknya rosak semula.

"Kami sudah tidak sanggup dan terseksa dengan kerosakan lif ini. Saya harap lif ini diganti baharu bagi menyelesaikan masalah penduduk," katanya.

Seorang penduduk, Abdul Wahab Majid, 45, mendakwa lif tersebut tidak pernah berganti baharu sejak 14 tahun dia tinggal di sana.

Abdul Wahab
Abdul Wahab

"Saya tak pasti blok-blok lain tetapi di Blok A selalu rosak. Bukan isu vandalisme tetapi memang dah sampai jangka hayatnya untuk ditukar kerana jika dibaiki tetap akan rosak semula.

"Permasalahan ini amat dirasai ketika berlaku kecemasan seperti kematian yang menyebabkan jenazah terpaksa diangkut menggunakan tangga.

"Tambahan pula sekarang waktu Ramadan, orang letih berpuasa dan terpaksa naik tangga pula apabila lif rosak, " katanya.

Penduduk terpaksa mengusung tong gas menaiki tangga susulan lif rosak.
Penduduk terpaksa mengusung tong gas menaiki tangga susulan lif rosak.