Kuih piana digemari golongan berusia

Abdul Rahman menunjukkan kuih piana yang hanya boleh ditemui pada bulan Ramadan.
Abdul Rahman menunjukkan kuih piana yang hanya boleh ditemui pada bulan Ramadan.
A
A
A

KOTA BHARU - Jika ditanyakan secara rambang kepada orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan, ramai yang tidak mengenali kuih piana.

Malah tinjauan Sinar Harian di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV di sini mendapati hanya dua gerai yang menjual kuih piana daripada 100 gerai yang ada.

Seorang pembuat kuih tradisional, Abdul Rahman Abdul Aziz, 33, berkata, generasi baharu dan belia masa kini sudah tidak mengenali kuih piana.

Katanya, kuih tersebut lebih digemari golongan berusia dan sebenarnya sangat mudah dihasilkan iaitu dengan menggunakan bahan-bahan seperti tepung gandum, telur dan marjerin.

“Adunan untuk membuat kuih piana juga dimasukkan yis bagi mendapatkan tekstur gebu dan diperasakan dengan sedikit garam serta gula untuk lebih manis.

“Kuih piana memang manis dan lebih sedap jika menggunakan tepung ubi berbanding gandum,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu.

Katanya, akibat ramai yang sudah tidak mengenali kuih itu, pengunjung bazar kerap bertanya dan menganggap kuih piana sebagai kuih yang unik dan pelik.

“Di bazar ini, gerai saya dan sebuah lagi gerai milik adik saya sahaja yang betul-betul menjual kuih piana manakala ada satu dua sahaja gerai yang meletakkan kuih piana untuk dijual.

Artikel Berkaitan:

“Kuih piana yang dijual tiga biji RM2 ini saya hasilkan sendiri menerusi resipi ibu dengan cara membakar adunan yang dimasukkan ke dalam acuan di dalam ketuhar selama 30 minit,” jelasnya.

Kuih piana yang dijual dengan harga tiga biji RM2.
Kuih piana yang dijual dengan harga tiga biji RM2.

Sementara itu, seorang penggemar kuih piana, Noriani Ong Abdullah, 64, berkata, kuih itu lebih digemari oleh golongan berusia.

“Sekarang sukar untuk mendapatkannya.

“Kalau terjumpa, saya takkan lepaskan peluang membeli dan biasanya kuih ini ada pada bulan Ramadan saja,” ujarnya.

Noriani tidak melepaskan peluang mendapatkan kuih piana terutama ketika bulan Ramadan.
Noriani tidak melepaskan peluang mendapatkan kuih piana terutama ketika bulan Ramadan.

Seorang pengunjung, Anuar Razak, 36, yang berasal dari Pulai Chodong, Machang itu pertama kali mendengar tentang kuih piana.

“Saya asal dari Machang tetapi memang langsung tidak kenal kuih ini.

“Saya difahamkan rasanya manis,” katanya.

Pembantu gerai, Muhamad Afiq Mat Saufi (kanan) melayan pengunjung, Anuar Razak, 36, yang membeli kuih piana.
Pembantu gerai, Muhamad Afiq Mat Saufi (kanan) melayan pengunjung, Anuar Razak, 36, yang membeli kuih piana.