Kembara Saintis Junior serlah kreativiti anak nelayan

Mohd Affan (tiga, kanan) bersama sebahagian daripada jawatankuasa dan peserta Kembara Saintis Junior. Gambar kecil, Ahmad Rusdi.
A
A

KUALA TERENGGANU- Seramai 250 pelajar dari Kuala Nerus menyertai Kembara Saintis Junior di bawah program empowerECER Latihan Akademik Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) di sini, semalam.

Program yang berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu itu merupakan inisiatif daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Kesemua pelajar yang terlibat merupakan anak-anak nelayan dalam kalangan peserta AKN yang telah dipilih berdasarkan kajian profiling AKN sebelum ini.

Pengurus empowerECER AKN UMT, Ahmad Rusdi Abdullah berkata, program itu merupakan salah satu daripada latihan akademik AKN kepada peserta, yang terdiri daripada pelajar darjah 1 hingga tingkatan 5.

“Objektif utama kita adalah bagi memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai dunia reka cipta berasaskan sains, selain memberikan peluang kepada pelajar untuk menonjolkan kreativiti dalam bidang sains secara ‘hands-on’

“Kita nak melatih mereka supaya dapat mencetuskan idea-idea yang bernas dalam kehidupan seharian dan mendidik mereka mengenai corak pembacaan yang betul dan berkesan, selain membawa pelajar meneroka alam angkasa dan dunia sains,” katanya kepada Sinar Harian.

Program itu dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan (Pengurusan Murid dan LINUS) Daerah Kuala Nerus, Mohd Affan Salleh.

Jelasnya, program itu juga bagi mewujudkan hubungan dan semangat belajar serta bersaudara memandangkan AKN terdiri daripada pelbagai sekolah.

Pada masa yang sama katanya, ia bagi memberikan peluang pelajar yang tidak berkemampuan untuk memperoleh pengalaman dan menarik minat mereka untuk menghadiri program-program di bawah empower.

Program Latihan Akademik menyasarkan pelajar berprestasi akademik lemah dan sederhana dari keluarga berpendapatan rendah, bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat luar bandar dengan bandar melalui peningkatan prestasi akademik pelajar dan kemahiran vokasional peserta.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia