Gumpalan rambut dalam kuih limas: JKN tunggu keputusan makmal

JKN Perak sedang menunggu keputusan makmal sebelum mengambil tindakan terhadap peniaga kuih limas.
JKN Perak sedang menunggu keputusan makmal sebelum mengambil tindakan terhadap peniaga kuih limas.
A
A
A

GOPENG - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan menunggu keputusan ujian makmal sebelum tindakan lanjut diambil terhadap seorang peniaga bazar Ramadan susulan penemuan segumpal rambut dalam kuih limas yang tular, minggu lalu.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, sehingga kini belum ada sebarang perkembangan berkaitan isu itu selepas pemeriksaan dilakukan terhadap premis makanan dan di rumah peniaga terbabit.

Menurutnya, siasatan awal dijalankan mendapati kedua-dua premis berkenaan dikategorikan sebagai bersih.

"Siasatan di tempat penyediaan makanan telah kita lakukan dan makanan yang diterima daripada pengadu juga telah dihantar untuk analisa makmal.

"Kita dapati di rumahnya (peniaga) tempat memproses kuih limas itu bersih. Jadi untuk siasatan seterusnya bergantung kepada keputusan yang kita perolehi daripada ujian makmal tersebut," katanya dalam sidang akhbar Program Santuni Asnaf dan Kumpulan Sasar Ramadan anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pasar raya Mydin di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah JAS negeri, Rosli Zul.

Dalam majlis itu, seramai 46 orang terdiri anak yatim dan warga emas diraikan membeli keperluan hari raya sempena Sambutan Hari Bumi Sedunia Tahun 2022.

Pada Rabu, Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak menjalankan siasatan susulan kejadian tular pada 12 April berhubung gumpalan rambut ditemui di dalam kuih limas yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Akmal (kiri) dan Rosli menyantuni pasangan adik-beradik, Adam Haikal Syayakin, 11, dan Adam Danial, 9, mencuba baju raya baharu sempena Program Santuni Asnaf dan Kumpulan Sasar Ramadan anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pasaraya Mydin pada Sabtu.
Mohd Akmal (kiri) dan Rosli menyantuni pasangan adik-beradik, Adam Haikal Syayakin, 11, dan Adam Danial, 9, mencuba baju raya baharu sempena Program Santuni Asnaf dan Kumpulan Sasar Ramadan anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pasaraya Mydin pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Akmal berkata, dua kilang memproses bahan skrap dan buangan terjadual telah disita setakat ini berhubung isu pencemaran bau yang dihadapi penduduk di Simpang Pulai.

Katanya, sitaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 itu dilakukan selepas pemeriksaan pada 1 dan 13 April lepas mendapati, pengoperasian kedua-dua kilang terbabit tidak mendapat kelulusan JAS selain sistem kawalan pencemaran yang tidak mencukupi.

"Selepas sitaan dibuat, dalam tempoh seminggu ini, kita tidak lagi menerima sebarang aduan sepertimana sebelum ini.

"Jadi ini menguatkan lagi asas bahawa punca daripada aktiviti inilah yang menjadi kacau ganggu kepada masyarakat setempat di situ," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing sebelum ini memuat naik status di laman Facebooknya mengenai berlakunya bau busuk dipercayai bahan kimia di sekitar kawasan Bandar Seri Botani, Simpang Pulai, Taman Muda dan Kampung Sengat.

Melalui status berkenaan, Kar Hing berkata, beliau yang melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan mendakwa kesan bau itu memedihkan mata dan membuatkan dirinya mengalami sesak nafas sehingga terpaksa membuka tingkap kereta sepanjang melalui kawasan itu.