Premis jual kuih limas ada gumpalan rambut diperiksa

Gambar tular berhubung gumpalan rambut ditemui di dalam kuih limas yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.
Gambar tular berhubung gumpalan rambut ditemui di dalam kuih limas yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.
A
A
A

IPOH - Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak pada Khamis telah menjalankan pemeriksaan premis makanan susulan kejadian tular segumpal rambut ditemui di dalam kuih limas yang dijual di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pemeriksaan itu melibatkan tempat jualan iaitu di bazar Ramadan Teluk Intan dan di tempat makanan tersebut iaitu di rumah penjual.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan selepas BKKM JKN Perak menerima aduan daripada pengadu pada Rabu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis dikategorikan sebagai bersih. Selain itu semua 84 lot premis di bazar Ramadan Teluk Intan turut dibuat pemeriksaan hari ini.

"Tiada notis kompaun dikeluarkan, namun sebanyak 254 pengendali makanan diberi pendidikan kesihatan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau berkata, persampelan makanan untuk analisa makmal dilakukan di bazar Ramadan tersebut terutamanya terhadap makanan yang disediakan di rumah.

Menurutnya, makanan yang diterima dari pengadu akan dihantar untuk analisis makmal bagi tujuan siasatan kes.

Jelasnya, keterangan daripada pembeli serta penjual telah diambil dan kertas siasatan dibuka bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, sehingga 13 April, sebanyak 1,545 pemeriksaan premis bazar Ramadan telah dilakukan di seluruh Perak.

Menurutnya, setakat ini hanya satu aduan diterima di daerah Hilir Perak manakala sebanyak 13 notis kompaun dikeluarkan hasil pemeriksaan tersebut.

Pada Rabu, Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak menjalankan siasatan susulan kejadian tular pada 12 April berhubung gumpalan rambut ditemui di dalam kuih limas yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.