Projek mega Kedah dikhuatiri hanya halwa telinga: Mukhriz

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Pelbagai projek bertaraf mega yang diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di negeri ini dikhuatiri sekadar halwa telinga kepada rakyat Kedah semata-mata tanpa sebarang asas.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, antara projek mega diumumkan ialah litar lumba antarabangsa di Langkawi bernilai RM1.0 bilion dan projek Langkasuka Langkawi sebanyak RM40.0 bilion.

Beliau yang juga Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berkata, turut diuar-uarkan ialah pelaburan sektor pengeluaran bernilai RM68.3 bilion serta perlombongan mineral bernilai RM60 bilion serta Lapangan Terbang Antarabangsa (KXP) sebanyak RM6.5 bilion dan lain-lain lagi.

“Jadi, timbul persepsi Kedah sudah menjadi negeri sangat kaya kerana kecekapan pentadbiran kerajaan negeri dan bukan lagi antara negeri termiskin.

“Sebanyak RM631.68 juta hasil negeri turut diumumkan berjaya dikutip sehingga November 2021 namun menjadi persoalan apabila rakyat Kedah dikhuatiri tidak menikmati limpahan kekayaan bernilai berbilion-bilion itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Disebabkan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra bimbang apabila ramai rakyat masih berdepan pelbagai masalah.

“Misalnya, kenaikan harga barang yang tidak terkawal, kekurangan pendapatan, kadar kemiskinan meningkat, kos input padi melambung tinggi, tali air tidak dibersihkan dan jalan rosak tidak dibaiki,” katanya.

Tambah beliau, rakyat juga dikhuatiri masih berdepan isu kekurangan bekalan air kerana projek Loji Rawatan Air yang masih belum dimulakan dan Projek Perumahan Rakyat yang sudah siap masih belum diserah kunci.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mempersoalkan mengapa sebuah negeri yang dikatakan berjaya menarik pelaburan dan melancarkan projek bernilai berbilion itu masih dibelenggu masalah berkenaan.