Tiga lelaki menyamar polis dicekup

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai anggota polis dan melakukan jenayah samun, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 20-an itu ditahan di lokasi berasingan sekitar bandar ini.

Menurutnya, penangkapan itu dibuat selepas polis menahan suspek pertama berusia 24 tahun di kawasan Bayan Lepas.

"Susulan penahanan suspek pertama, kita berjaya menahan dua lelaki lain yang dipercayai rakan suspek yang terlibat dalam kes menyamar sebagai anggota polis sebelum melakukan jenayah samun.

"Turut dirampas daripada suspek adalah dua unit telefon bimbit, sebuah beg, satu peket dadah jenis syabu dan sekeping kad bank," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas mengenai kejadian yang berlaku sebelum ini, Rahimi berkata, seorang pekerja lelaki warga tempatan didatangi dua lelaki ketika dia sedang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Datuk Keramat, di sini pada jam 11.30 malam, 31 Mac lalu.

"Kedua-dua suspek yang mengaku sebagai anggota polis itu telah membawa mangsa ke kawasan gelap di belakang kedai lalu menumbuk perutnya. Suspek turut meminta wang daripada mangsa.

"Mangsa yang ketakutan telah membuat pemindahan wang secara dalam talian sebanyak RM1,000 ke satu akaun bank seperti yang diarahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, ketiga-tiga suspek direman sehingga 19 April ini untuk disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan.

"Jika sabit kesalahan, ia boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

"Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya," katanya.

Katanya lagi, suspek pertama yang bekerja sebagai pengawal keselatan mempunyai enam rekod dadah dan empat rekod jenayah lampau.

"Tangkapan kedua tidak bekerja dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala tangkapan ketiga yang bekerja sebagai penghantar barang mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.