Pemimpin politik sokong Ismail Sabri calon PM pada PRU15

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR- Ramai pemimpin parti politik menyokong keputusan Majlis Tertinggi (MKT) UMNO yang mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata Pas menyambut baik keputusan UMNO itu, dan menyokong penuh kepimpinan Ismail Sabri pada masa ini serta berharap agenda perpaduan yang dipelopori beliau dapat diteruskan, kerana ia terbukti berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.

Katanya pendekatan itu pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara.

"Pas yakin Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dengan pihak pembangkang, yang berkuat kuasa dari tarikh ditandatangani sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14, akan terus membantu proses pemulihan negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan hidup serta kehidupan rakyat jelata,” katanya.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup pula, menyifatkan keputusan UMNO itu sebagai satu langkah yang baik untuk menjamin kestabilan politik negara.

Beliau berkata kepimpinan ‘Keluarga Malaysia’ yang diterapkan Ismail Sabri, setakat ini sudah terbukti cemerlang dan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri akan mendatangkan pelbagai faedah kepada negeri Sabah, berdasarkan inisiatif-inisiatif yang sudah dilaksanakan untuk ‘Negeri Di Bawah Bayu’ itu.

"Beliau (Perdana Menteri) yang pertama dapat menjayakan kelulusan pindaan Perlembagaan untuk menaikkan taraf Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Semenanjung. Yang kedua, beliau telah memberikan komitmen untuk menyiapkan Projek Lebuh Raya Pan Borneo dalam jangka masa lima tahun.

"Selain itu beliau juga sedang berusaha untuk mengkaji semula pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Jadi ini semua menunjukkan bagi PBRS, Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri yang bagus untuk Sabah,” katanya.

Naib Presiden MIC Datuk M. Asojan pula berkata dasar-dasar yang dilaksanakan Ismail Sabri sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, telah diterima baik bukan sahaja dalam kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), malah keseluruhan rakyat di negara ini termasuk pemimpin pembangkang.

Artikel Berkaitan:

"Dalam suasana politik sekarang, rakyat mahukan pentadbiran yang aman, tenang dan tidak terpalit dengan pelbagai isu,” katanya.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula berkata keputusan tersebut membuktikan bahawa, kepimpinan tertinggi UMNO sentiasa mengutamakan masa depan parti serta demi kestabilan kerajaan, untuk menjamin masa depan yang lebih baik buat rakyat dan negara.

"Ini sudah semestinya memberi peluang dan ruang secukupnya kepada Perdana Menteri, untuk beliau memberi fokus kepada hala tuju pentadbiran kerajaan.

"Bagi Wanita UMNO, kami memberi komitmen untuk terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti pada PRU15,” katanya.

Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan UMNO itu, memperlihatkan tahap solidariti luar biasa UMNO untuk berdepan PRU15, serta mencerminkan sikap pemimpin UMNO yang lebih mengutamakan kepentingan negara dan parti, melebihi kepentingan peribadi.

"Keputusan mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon sudah tentu dapat mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti, malah memperkukuhkan perspektif luar kepada masa hadapan politik Malaysia.

"Keputusan ini memberikan ruang yang luas kepada Perdana Menteri, untuk menyusun dan merencana agenda bagi memenangi hati dan minda rakyat, untuk memberikan sokongan kepada UMNO ketika menghadapi PRU15 nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pelantikan semula Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas PRU15, akan membolehkan beliau meneruskan usaha-usaha memulihkan ekonomi kesan Covid-19. - Bernama