Aksi ‘zig-zag’, ‘wheelie’ lima lelaki bawa padah

Lima lelaki yang ditahan bersama motosikal masing-masing telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan IPD Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Lima lelaki yang ditahan bersama motosikal masing-masing telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan IPD Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis berjaya menahan lima lelaki kerana didapati menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya termasuk melakukan aksi ‘zig-zag’ serta ‘wheelie’ dalam dua Ops Samseng Jalanan yang diadakan di daerah ini serta Setiu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, tangkapan pertama dilakukan pada jam 10.50 malam Khamis di kilometer 42 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja di Merang, Setiu melibatkan empat lelaki.

Menurutnya, lelaki berusia antara 19 hingga 32 tahun dari bandar Permaisuri, Setiu itu dikesan menunggang motosikal secara merbahaya oleh polis yang menjalankan Operasi Samseng Jalanan kawasan Lembah Bidong.

“Empat lelaki ini telah melakukan aksi berlumba sesama sendiri, menundukkan kepala selari dengan meter dan memotong sesama sendiri secara zig-zag dalam jarak kira-kira satu kilometer.

“Perlakuan tersebut merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, oleh itu polis bertindak menahan mereka yang bekerja sebagai petani, kelindan lori dan buruh binaan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ismail berkata, dalam operasi kedua di Jalan Sultan Mahmud, di sini, seorang buruh berusia 21 tahun berjaya ditahan pada jam 3.30 pagi Jumaat selepas melakukan aksi sama ketika menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Beliau berkata, lelaki dari Marang itu bersama sekumpulan motosikal telah bersaing sesama sendiri, mengangkat tayar hadapan (wheelie) dan menundukkan kepala selari dengan meter serta melakukan aksi zig-zag dalam jarak kira-kira 400 meter di lampu isyarat Kuala Ibai.

“Suspek berpatah balik secara melawan arus dengan laju tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain dan melakukan aksi sama berulang kali, di mana aksi tersebut membahayakan pada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua lima suspek telah ditahan bersama motosikal masing-masing dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan IPD Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

“JSPT Terengganu akan meneruskan operasi ini sebagai usaha mencegah gejala tidak sihat di kalangan belia untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan menjaga ketenteraman awam,” katanya.