Debat Sapura: Anwar minta Najib jangan berdolak dalik

Tangkap layar video ringkas hantaran di Facebook Anwar pada Rabu.
Tangkap layar video ringkas hantaran di Facebook Anwar pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak berdolak dalik berkaitan dengan pelaksanaan debat antara kedua pemimpin tersebut mengenai isu syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia, Sapura Energy Bhd (SEB).

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengulangi pendiriannya yang sentiasa bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa tanpa syarat dan diadakan secara terbuka kepada seluruh rakyat.

Mengenai isu mengadakan debat ketika bulan Ramadan, beliau berkata, perkara itu telah dibangkitkannya ketika di peringkat awal semasa mendapat cabaran daripada Najib.

“Datuk Seri Najib mencabar saya untuk berdebat dengan dia dalam kenyataan di awal Ramadan. Saya jawab ini bulan Ramadan...Sekarang dia mengulas mengatakan tidak wajar di bulan Ramadan, harus mencecahkan ke awal bulan Syawal.

“Yang ditetapkan hanya satu portal kecil. Saya jawab harus terbuka. Mana-mana media besar sama ada Sinar Harian, TV3, RTM atau mana sahaja. Tetapi jangan menyekat kebebasan media supaya rakyat boleh menilai.

“Jadi saya harap Datuk Seri Najib jangan berdolak dalik lagi. Dia cabar saya jawab dan insya-ALLAH kita bertemu,” katanya menerusi satu video pendek yang dikongsikan di Facebook beliau pada Rabu.

Kedua-dua pemimpin tersebut baru-baru ini telah menyatakan persetujuan untuk berdebat mengenai keperluan untuk menyelamatkan SEB yang ketika ini menghadapi masalah kewangan.

Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan menjadi antara pemimpin terawal sebelum ini yang mencadangkan kerajaan untuk menyelamatkan SEB yang juga merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, idea itu ditentang oleh bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang berpandangan bahawa masalah itu boleh diselesaikan pengurusan syarikat itu sendiri antaranya melalui pelaksanaan rasionalisasi projek dan portfolio dengan menghentikan sebarang operasi atau projek yang membazir, tidak menguntungkan atau tidak mampu disiapkan.