Terima kunci rumah April ini

Penerima rumah Taman Muafakat Dulang bakal menerima kunci kediaman pada April depan.
A
A

ALOR SETAR - Penantian penerima rumah Taman Muafakat Dulang, Yan,di sini, bakal berakhir apabila mereka dijangka menerima kunci kediaman itu pada April depan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew berkata, projek ditanggung Yayasan Zainudin berkenaan dalam proses terakhir untuk diserahkan kepada penerima.

Kok Yew yang merupakan ADUN Derga berkata, disebabkan masalah teknikal, kunci rumah di taman perumahan itu akan diserahkan bulan hadapan.

"Kita akan cuba memastikan satu projek di bawah Yayasan Zainudin, iaitu Taman Muafakat Dulang diserahkan kepada penerima terlibat.

"Setakat ini, kita sudah dalam peringkat akhir untuk serahan kepada mereka, yang mana kunci rumah akan diberikan pada April," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kok Yew memberitahu 100 keluarga penduduk Kampung Kuala Dulang bakal menerima kunci rumah di Taman Muafakat Dulang pada 2018 dalam Sidang Dun Kedah tahun lepas.

Pada November lepas, penerima rumah Taman Muafakat Dulang, yang merupakan mangsa hakisan pantai kira-kira 10 tahun sudah pun menjalani prosedur cabutan undi bagi menentukan kedudukan rumah.

Penyelaras Dun Sungai Limau, Zahran Abdullah berkata, undian dibuat bagi menentukan nombor rumah yang bakal mereka duduki.

Pada 12 Julai lepas, Sinar Harian turut melaporkan perhimpunan yang dijalankan oleh penerima rumah berkenaan bagi menuntut janji menerima rumah itu.