KPDNHEP tumpas aktiviti seleweng diesel di Port Dickson

Shamsul Nizam (tiga, kiri) menunjukkan antara jentera yang digunakan bagi menjalankan kerja-kerja penyelewengan minyak diesel bersubsidi pada sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP Seremban 2 pada Rabu. - Foto Bernama

A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Teluk Kemang, Port Dickson, Isnin lepas.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama tiga minggu dan anggotanya turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bagi membantu siasatan.

"Ketika serbuan, terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel di dalam tangki simpanan. Pemandu lori membuat pengisian minyak diesel berjumlah RM500 bersamaan kira-kira 232 liter.

Pegawai KPDNHEP menunjukkan paip salur yang diubah suai secara haram bertujuan penyelewengan minyak diesel bersubsidi pada sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP Seremban 2, pada Rabu. - Foto Bernama
Pegawai KPDNHEP menunjukkan paip salur yang diubah suai secara haram bertujuan penyelewengan minyak diesel bersubsidi pada sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP Seremban 2, pada Rabu. - Foto Bernama

"Hasil siasatan awal mendapati pemandu itu melakukan dua kali pengisian dengan jumlah transaksi RM1,000. Kapasiti minyak diesel yang boleh diisi tidak melebihi 250 liter sehari namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati ruang tangki simpanan mengandungi 370 liter minyak diesel,” katanya kepada pemberita di Stor KPDNHEP, Seremban 2 di sini pada Rabu.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya merampas minyak diesel, lori tangki, dua telefon bimbit dan satu set kamera litar tertutup (CCTV) yang keseluruhannya dianggar bernilai RM27,795 selain invois, resit jualan serta sejumlah dokumen perniagaan lain daripada stesen minyak berkenaan.

"Terdapat 24 stesen minyak dari Port Dickson hingga ke Lukut, modus operandi adalah mereka pergi ke setiap stesen minyak dan kita juga sedang menyiasat sama ada pengusaha stesen minyak terlibat dalam kes ini. Kesemua stesen minyak tersebut diminta mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebuah rampasan tong berukuran besar yang berada di ruangan belakang sebuah lori secara haram yang bertujuan penyelewengan minyak diesel bersubsidi. - Foto Bernama
Sebuah rampasan tong berukuran besar yang berada di ruangan belakang sebuah lori secara haram yang bertujuan penyelewengan minyak diesel bersubsidi. - Foto Bernama

Shamsul Nizam berkata, individu terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dan keputusan kes dimuktamadkan.

Syarikat terbabit juga disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Katanya, setakat tahun ini, KPDNHEP telah mengesan empat kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Negeri Sembilan iaitu tiga di Port Dickson dan satu di Seremban membabitkan rampasan bernilai RM71,690. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!