Beberapa sektor diberi kelonggaran pelaksanaan gaji minimum

M Saravanan - Foto Bernama
M Saravanan - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA- [DIKEMAS KINI] Beberapa sektor termasuk pekerjaan tidak formal diberi kelonggaran untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500 yang dikuat kuasa Mei ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, tempoh kelonggaran tersebut adalah selama setahun.

"Contohnya, orang kampung kerja dengan gaji RM600, kalau saya paksa mereka dibayar RM1,500 mungkin akan kehilangan pekerjaan," katanya.

Menurutnya, sebuah syarikat yang mempunyai pekerja kurang daripada lima orang turut diberikan kelonggaran tersebut.

"Begitu juga dengan syarikat menghadapi kerugian besar seperti perhotelan dan pelancongan, kerajaan akan memberi mereka masa setahun," katanya.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pandemik lain selepas setahun, tempoh masa kelonggaran itu boleh dipanjangkan mengikut budi bicara menteri.

"Pendekatan sama juga kita ambil semasa pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,200 pada tahun 2012," katanya.

Pada 19 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 di seluruh negara berkuat kuasa pada 1 Mei depan.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet Tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Saravanan berkata, pihak industri perlu memahami bahawa pekerja bukan lagi pasaran majikan.

"Walaupun kita menghadapi kegawatan ekonomi jangan kita fikir rakyat akan ambil semua peluang yang diberikan.

Rakyat ada pilihan malah golongan belia ada pilihan sama ada hendak bekerja dengan gaji minimum ataupun melibatkan diri dalam ekonomi gig," katanya.

Ujarnya, dalam usaha kerajaan melahirkan 600,000 peluang pekerjaan, pilihan alternatif seperti kenaikan gaji perlu diberikan kepada pekerja bagi menampung kos sara hidup yang meningkat.

"Saya buat ini bukan ikut suka hati saya, akta mengatakan setiap dua tahun gaji perlu dinaikkan. Bukan suka-suka naikkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran inisiatif Microcredential di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Lebih tiga juta tempat latihan kelayakan mikro ditawarkan dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi inisiatif tersebut.

Microcredential merupakan inisiatif kelayakan mikro berasaskan industri komprehensif pertama di negara ini yang bakal membantu rakyat Malaysia mendapatkan pensijilan diiktiraf secara rasmi.

Inisiatif tersebut menawarkan hampir 10,000 kursus jangka pendek merentasi 24 bidang kemahiran dan menyasarkan 50,000 tempat latihan menjelang penghujung tahun 2022.