Jerebu boleh rugikan Malaysia RM50 juta sehari

Jerebu berpanjangan berpotensi menjejaskan operasi penerbangan dan sektor pelancongan, sekali gus meningkatkan risiko kerugian ekonomi negara.
Jerebu berpanjangan berpotensi menjejaskan operasi penerbangan dan sektor pelancongan, sekali gus meningkatkan risiko kerugian ekonomi negara.
A
A
A

PETALING JAYA - Malaysia berisiko menanggung kerugian antara RM20 juta hingga RM50 juta sehari sekiranya jerebu berpanjangan akibat peningkatan kos kesihatan, gangguan aktiviti ekonomi dan kemerosotan produktiviti pekerja.

Anggaran yang boleh mencecah RM600 juta hingga RM1.5 bilion sebulan itu dikemukakan Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng, menurut laporan The Star.

Beliau berkata, pelancongan dan penerbangan antara sektor paling terjejas apabila pencemaran udara boleh mengurangkan ketibaan pelancong sehingga lapan peratus, selain mengganggu pertanian, pengangkutan dan pembinaan.

Kim Leng turut merujuk episod jerebu 2013 yang dianggarkan menyebabkan kerugian RM1.57 bilion, termasuk kos penjagaan kesihatan dan kehilangan pendapatan.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpendapat, anggaran kerugian harian itu munasabah sebagai petunjuk awal, tetapi bukan jumlah sebenar yang telah disahkan.

"Sekiranya jerebu berlarutan selama sebulan dan kerugian harian benar-benar berada dalam julat RM20 juta hingga RM50 juta, jumlah kerugian indicator boleh mencecah RM600 juta hingga RM1.5 bilion," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, jumlah sebenar bergantung pada tempoh jerebu, tahap pencemaran, kawasan terjejas dan keupayaan perniagaan menyesuaikan operasi.

Katanya, penilaian lebih tepat memerlukan data kesihatan, tenaga kerja, pelancongan, pengangkutan dan pertanian supaya kerugian sama tidak dihitung berulang kali.

"Malaysia pernah mengalami kerugian RM801.9 juta sepanjang episod jerebu Ogos hingga Oktober 1997, termasuk kehilangan produktiviti ketika darurat di Sarawak dan kemerosotan ketibaan pelancong.

Artikel Berkaitan:

"Jika angka RM802 juta pada 1997 diselaraskan menggunakan Indeks Harga Pengguna Malaysia, nilainya bersamaan kira-kira RM1.47 bilion berdasarkan perbandingan indeks tahunan 1997 dengan 2025," katanya.

Barjoyai menegaskan, negara tidak boleh hanya berharap kepada perubahan angin, sebaliknya perlu memperkukuh pengesanan awal, pencegahan kebakaran dan kerjasama penguatkuasaan dengan Indonesia serta ASEAN.

"Pengalaman jerebu 1997 dan episod selepasnya menunjukkan bahawa Malaysia tidak seharusnya bergantung semata-mata pada langkah kecemasan apabila kualiti udara sudah mencapai tahap berbahaya," ujarnya.

Kos tersembunyi

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Hafiz Jaafar berkata, kajiannya di Selangor mendapati peningkatan kunjungan ke hospital dan klinik ketika musim jerebu menyebabkan kos tambahan kira-kira RM14.6 juta bagi tempoh 2012 hingga 2015.

Menurutnya, kos penyakit akibat jerebu di peringkat nasional dianggarkan meningkat daripada RM21 juta pada 1997 kepada RM410 juta pada 2013.

"Jerebu turut menjejaskan jantung dan saluran darah yang belum dikira sepenuhnya," katanya.

Beliau menjelaskan, kerugian turut meningkat apabila cuti sakit, kehilangan pendapatan, ketidakhadiran murid ke sekolah serta pekerja yang hadir tetapi tidak dapat menjalankan tugas dengan baik diambil kira.

Kesan tersebut bukan sahaja dirasai industri besar, malah turut membebankan keluarga yang terpaksa menanggung kos rawatan dan kehilangan pendapatan.

Ancaman jerebu belum berakhir apabila Kalimantan Barat, Indonesia masih diselubungi kabut asap, dengan 419 titik panas dikesan dalam tempoh 24 jam hingga Rabu, menurut laporan media Indonesia yang memetik Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!