3 lori tangki bawa petrol untuk diseludup terkandas

Lori tangki minyak yang terkandas di laluan berlumpur dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dibuat oleh pasukan ATB 2 di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Bakarat, Lahad Datu.
Lori tangki minyak yang terkandas di laluan berlumpur dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dibuat oleh pasukan ATB 2 di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Bakarat, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Tiga lori tangki minyak yang terkandas di laluan berlumpur di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Bakarat, di sini, membongkar aktiviti penyeludupan sebanyak 60,000 liter petrol pada Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, ketiga-tiga lori tangki minyak itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum sepasukan anggota dari Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) bertindak membuat pemeriksaan terhadap pengangkutan itu.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, hasil rondaan Op Pasir Sektor Delta yang dilaksanakan Tim Ronda Tungku membawa kepada penemuan tiga lori tangki minyak yang terkandas di laluan berkenaan.

"Kesemua lori itu dalam keadaan mencurigakan kerana menggunakan laluan lain untuk membawa barang kawalan. Selain itu, turut mencurigakan pasukan keselamatan adalah kemunculan sebuah kapal tongkang yang bersauh tidak jauh dari lokasi lori berkenaan.

"Pasukan keselamatan kemudian bertindak membuat pemeriksaan awal dan terdapat satu sindiket yang terdiri daripada lima lelaki warga tempatan bersama seorang lelaki warga Filipina berusia antara 23 hingga 54 tahun terbabit dalam kegiatan itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludup petrol ke negara jiran.
Suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludup petrol ke negara jiran.

Katanya lagi, Tim Ronda Pos Tungku bertindak menahan kesemua suspek bersama kenderaan serta barangan yang ditemui turut dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Tungku.

"Hasil pemeriksaan awal terhadap lori tersebut didapati masing-masing membawa muatan 20,000 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM150,500 bagi setiap lori.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit, lesen atau kebenaran khas daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya.

Katanya lagi, kenderaan itu dipercayai digunakan untuk tujuan membawa petrol yang diseludup dari Lahad Datu ke Filipina.

"Hasil pemeriksaan maklumat bersama Pusat Operasi (PUSOP) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mendapati tiada jadual ulang bekal minyak di Pos Merabung dan disyaki ada cubaan menyeludup minyak iaitu penghantaran ke kapal tangki di pantai Lahad Datu.

"PUSOP ESSCOM telah mengkoordinasikan anggota dari Balai Polis Tungku bergerak ke lokasi kejadian bagi membantu proses penahanan manakala sebuah bot peronda Pasukan Polis Marin (PPM) bergerak menuju ke lokasi kapal tongkang bersauh, namun kapal tersebut telah bergerak dari lokasi awal dan seterusnya hilang dari pemantauan pihak berkuasa," katanya.

Katanya lagi, nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM1,152,000 dan semua barang diserahkan kepada polis manakala semua suspek direman untuk tindakan lanjut.