Kedah pertimbang teknologi IA kurangkan masalah bekalan air

Suraya (barisan belakang, tengah) pada Majlis Iftar dan Meraikan 50 Anak Yatim Daerah Pendang di pasar raya Mydin Taman Saga, Alor Setar pada Selasa.
Suraya (barisan belakang, tengah) pada Majlis Iftar dan Meraikan 50 Anak Yatim Daerah Pendang di pasar raya Mydin Taman Saga, Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah bersedia mempertimbangkan teknologi Aqua Pintar (IA) bagi membantu mengurangkan masalah bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

Exco Kerjaya, Bekalan Air dan Sumber Tenaga negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob, berkata, teknologi pintar yang mematuhi standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu dilihat berkesan merawat air bawah tanah, air sungai dan air tasik.

Menurutnya, teknologi yang diketengahkan oleh sebuah syarikat itu melaksanakan konsep hibrid dengan mengunakan 'Granular Active Carbon' dan 'Ion Exchange' untuk merawat air tersebut.

"Teknologi ini telah ditemui oleh anak Kedah sendiri. Konsep ini sebenarnya menggunakan karbon yang dihasilkan daripada tempurung dari Indonesia. Tempurung ini berkualiti dan dibakar dalam suhu tertentu sebelum digunakan untuk merawat air," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar dan Meraikan 50 Anak Yatim Daerah Pendang di pasar raya Mydin Taman Saga, Alor Setar, dekat sini pada pada Selasa.

Mengulas lanjut, Suraya berkata, teknologi IA boleh dipertimbangkan oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk merawat air di Loji Rawatan Air (LRA) Merbok dan LRA Gurun.

Suraya (kiri) membantu seorang anak yatim memilih membeli baju raya di pasar raya Mydin Taman Saga, Alor Setar pada Selasa.
Suraya (kiri) membantu seorang anak yatim memilih membeli baju raya di pasar raya Mydin Taman Saga, Alor Setar pada Selasa.

"Dua loji ini memang kita boleh dapat air di bawah tanah tapi tidak boleh diminum lagi kerana tidak dirawat, jadi kita boleh mempertimbangkan menggunakan teknologi IA.

Artikel Berkaitan:

"Satu lagi tempat (yang boleh dipertimbangkan) adalah di empangan air bawah tanah di Langkawi," ujarnya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu lagi, teknologi IA sudah diaplikasikan di beberapa buah negara antaranya di Jeddah, Arab Saudi.

"Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah memulakan projek pilot penggunaan teknologi ini di Kelantan dan mampu memproses sehingga empat juta liter (mld) air untuk kegunaan 16,000 penduduk bagi satu kawasan.

"Satu lagi ada digunakan di sebuah kolam di Ipoh,Perak. Ia juga mudah alih dan boleh diletakkan di dalam kontena. Jika berlaku bencana banjir, ia boleh proses air sungai kotor untuk diminum oleh penduduk yang terputus bekalan air bersih ketika itu," katanya lagi

Tambahnya, penggunaan teknologi itu dilihat mampu menjimatkan kos kerana tidak memerlukan pemasangan paip walaupun tempat sumber air itu berada di kawasan yang agak jauh di pedalaman selain dapat mengurangkan air tidak terhasil (NRW).