Kajian tambah baik gaji penjawat awam Sarawak perlu agar lebih kompetitif

Abang Johari. Foto Bernama
Abang Johari. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kajian menambah baik termasuk meningkatkan gaji penjawat awam Sarawak perlu dilaksanakan agar ia lebih kompetitif, kata Premier Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kerajaan Sarawak menerima baik pengumuman kenaikan gaji oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini dan akan turut melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam negeri itu.

"Buat masa ini, kita sedang menjalankan kajian terperinci mengenai pelarasan ini agar ia lebih kompetitif selaras dengan tugas dan tanggungjawab penjawat awam Sarawak serta kekuatan kewangan kerajaan Sarawak.

"Saya akan mengumumkan hasil kajian ini dalam tempoh terdekat tertakluk pada perincian pelarasan gaji yang akan dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Rabu.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini antara tertinggi dan terbaik.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan berbanding pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam ialah RM1,795 sebulan.

Perincian mengenai kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 yang dijangka pada Oktober depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!