Tak sempat terima upah seludup barang

Lori jenis Isuzu yang membawa minuman keras, rokok elektronik, barangan runcit dan perkakas dapur itu ditahan pada jam 7 pagi.
Lori jenis Isuzu yang membawa minuman keras, rokok elektronik, barangan runcit dan perkakas dapur itu ditahan pada jam 7 pagi.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Hasrat seorang pemandu dan kelindan lori untuk menikmati upah menghantar barangan seludup sebanyak RM300 terbantut selepas ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di Jalan Kemahang, Tanah Merah di sini, pada Selasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, lori jenis Isuzu yang membawa muatan minuman keras, rokok elektronik, barangan runcit dan perkakas dapur itu ditahan pada jam 7 pagi.

"Ketika ditahan, pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan yang dibawa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian belakang lori itu telah menjumpai 3,225 botol dan 1,476 tin minuman keras tidak bercukai, rokok elektronik (290 kotak), barangan runcit dan perkakas dapur.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM531,381.

Azhari berkata, siasatan awal mendapati kesemua barangan tersebut dibawa untuk dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur.

"Hasil soal siasat, pemandu yang berusia 32 tahun dan kelindan 30 tahun itu memberitahu mereka menerima upah sebanyak RM300 bagi satu trip penghantaran.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983.

Katanya, kejayaan tersebut hasil rondaan rutin yang dilakukan oleh Batalion 7 PGA Kuantan menerusi Op Wawasan Kelantan.