Gubal segera akta berkaitan ketum

Dr Azman
Dr Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan disaran menggubal akta baharu khusus berkaitan penanaman dan industri ketum dalam negara dengan kadar segera.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, ini kerana negara memiliki pokok ketum berkualiti tinggi, namun manfaat herba berkenaan dibolot negara jiran, iaitu Thailand.

Menurutnya, Malaysia ketinggalan berbanding Thailand yang telah menghalalkan industri tersebut dan mengkomersilkan herba perubatan itu dalam pasaran yang amat menguntungkan.

“Apa salahnya kita gubal satu akta khusus mengenai ketum. Dengan cara itu, kita dapat kawal penggunaannya, antaranya dengan mengeluarkan lesen khas kepada pihak tertentu untuk tanam dan kemudian kita pasarkan dengan baik.

“Sesiapa yang dikesan menanam ketum tanpa lesen khas tersebut dan berpotensi disalahgunakan, kita ambil tindakan dengan memusnahkan tanaman tersebut. Lantik satu pihak untuk pasarkan daun ketum dan kerajaan beroleh keuntungan lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Azman berkata, ia bakal memberi impak besar dalam industri herba negara kerana ketum merupakan herba berimpak tinggi, malah lebih tinggi manfaatnya berbanding herba lain yang diperakui seperti ginseng.

“Kita ada ketum yang terbaik di dunia tetapi kita abaikan dengan isu remeh-temeh. Sekiranya ketum dibenar diusahakan secara sah, ia dapat meningkatkan pendapatan penduduk, malah membangunkan kawasan luar bandar yang banyak ditumbuhi pokok herba itu,” katanya.

Menurutnya lagi, ketum sudah lama diabaikan dalam negara walaupun ia digunakan secara meluas di beberapa negara luar antaranya untuk merawat pemulihan penagihan dadah, mengawal penyakit kronik serta penyakit saraf.

Artikel Berkaitan:

“Ketum yang berkualiti tinggi dan terbaik di dunia tumbuh di utara Semenanjung Malaysia, khususnya Kedah, Perlis dan Kelantan. Namun apa yang terbaik itu, kita tak benarkan dijual atau tanam untuk industri.

“Siapa yang kaut hasilnya? Thailand yang menguasai pasaran ketum di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi ketum dari negara kita yang diseludup masuk ke Thailand dan mereka pasarkan sebagai Thai kratom,” katanya.

Azman memaklumkan, setelah memasarkan ketum di peringkat antarabangsa, mereka menguasai pasaran dan telah menghalalkan ketum di Thailand.

“Saya bukan menyokong penyalahgunaan daun ketum, sudah tentu saya mahu ia dihentikan. Apa yang saya sarankan adalah penggunaan dan penjualan tanaman itu sebagai ubat herba perlu digalakkan,” ujarnya.

Menurutnya, ini kerana pasaran ubat herba bernilai RM418.4 bilion pada tahun 2020 dan dijangka meningkat sebanyak 16 peratus setiap tahun.

Tambahnya, dianggarkan menjelang 2026, pasaran itu bernilai RM629.2 bilion.

“Ketum ialah ubat perangsang yang tidak begitu kuat, tidak seperti heroin atau morfin yang merupakan dadah sintetik berbahaya berbanding ketum.

“Kalau kita dapat kurangkan beban polis daripada bersusah payah dengan isu ketum, polis dapat beri tumpuan kepada penyalahgunaan dadah sintetik yang lebih berbahaya. Sedangkan ketum boleh dipasarkan sebagai ubat herba dan penawar kepada penagihan dadah,” katanya.

Azman berkata, negara tidak lagi perlu melakukan kajian berkaitan ketum kerana ia sudah dilakukan oleh beberapa institusi pengajian tinggi dalam negara seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan kebanyakan negara.

“Kita tidak perlu lagi cari apa bahan aktif dalam ketum, kerana ubat herba ini boleh digunakan secara menyeluruh. Kita hanya perlu pasarkan keseluruhan daun ketum itu. Ia bukan sesuatu yang sukar dilakukan sekiranya negara menghalalkan industri tersebut secara kawalan,” katanya.

Azman memaklumkan, perkara itu telah dibangkitkan pihaknya tahun lalu di persidangan Parlimen, selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan untuk mengkaji membenarkan penanaman ganja jenis hemp dan marijuana bagi manfaat perubatan serta ekonomi.

Pada 16 Mac, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan agar kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah untuk mengeksport ketum secara sah bagi tujuan perubatan.

Muhammad Sanusi tegaskan, kerajaan negeri sudah mengarahkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) melakukan sesi libat urus bersama semua agensi berkaitan dan dapatan terbabit akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.