X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Pesara TUDM meninggal dunia ketika solat Isyak berjemaah

Masjid An-Nur Saujana Utama, Sungai Buloh di mana Yusri meninggal dunia ketika solat Isyak berjemaah pada Isnin malam.
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan meninggal dunia semasa menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur Saujana Utama, Sungai Buloh di sini pada Isnin malam.

Isterinya, Safaridah Mat Jonet 52, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.35 malam itu, Allahyarham suaminya, Yusri Taib, 51, sempat melafazkan kalimah ALLAH sebelum rebah semasa rakaat kedua dan disahkan meninggal dunia.

"Saya hanya mengetahui arwah suami sudah tiada selepas beberapa jemaah datang ke rumah kira-kira pukul 9.30 malam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Saujana Perdana di sini pada Selasa.

Menurut Safaridah, kali terakhir dia bertemu Allahyarham Yusri adalah ketika suaminya itu bersiap untuk ke masjid.

"Kebetulan semalam (Isnin) saya tidak berapa sihat dan tidak dapat mengikut arwah mengerjakan solat Isyak dan tarawih bersama-sama.

"Arwah pesan pada anak bongsu temankan saya di rumah, biasanya kami bertiga berjemaah di masjid," ujarnya.

Katanya, Allahyarham Yusri rajin melaksanakan ibadah dan amat menjaga solat serta kerap ke masjid.

"Arwah seorang yang tidak melengahkan solat dan biasanya ke masjid setiap kali solat Subuh dan Maghrib, manakala mengerjakan solat sunat tarawih sepanjang Ramadan ini," jelasnya.

Tambahnya,, arwah disifatkan seorang bapa yang penyayang terhadap keluarga dan tidak berlaku kasar terhadap anak-anaknya.

Allahyarham Yusri disifatkan sebagai individu yang amat menyukai dan menyayangi kucing semasa hayatnya.
Allahyarham Yusri disifatkan sebagai individu yang amat menyukai dan menyayangi kucing semasa hayatnya.

Jelasnya, Allahyarham juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang anak yang taat dengan ibunya yang menetap di Alor Gajah Melaka.

"Arwah memang mengambil berat tentang ibunya dan sering menghubunginya jika ada kelapangan.

"Sepanjang kami berkahwin, saya tidak pernah mendengar arwah meninggikan suara kepada ibunya dan peribadi arwah amat saya kagumi," katanya

Safaridah berkata, selain menghormati ibu, suaminya itu juga amat menyukai dan menyayangi kucing.

"Arwah suami sebelum kahwin dengan saya lagi memang suka kucing, malah pada pagi sebelum kejadian, arwah sempat membeli makanan 11 kucing peliharaannya," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!