99 peratus kes baharu Covid-19 kategori satu, dua

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 6,672 atau 99.13 peratus daripada 7,739 kes baharu Covid-19 pada Isnin adalah merupakan kes kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, baki 67 kes baharu atau 0.87 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima.

Beliau berkata, daripada 67 kes yang terletak dalam kategori tiga, empat dan lima, 42 daripadanya atau 62.69 peratus adalah kes yang mempunyai komorbiditi manakala 36 kes (57.73 peratus) adalah pesakit yang berusia 60 tahun dan ke atas.

“24 kes atau 35.82 peratus daripada pesakit kategori tiga, empat dan lima adalah pesakit yang tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, sementara 16 kes atau 23.88 peratus adalah pesakit yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“Terdapat satu kes atau 1.49 peratus merupakan pesakit ibu mengandung,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 427 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital pada Isnin dengan 187 daripadanya atau 43.8 peratus adalah kategori tiga, empat, dan lima manakala 240 kes (56.2 peratus) adalah kategori satu dan dua.

Bagi penggunaan fasiliti kesihatan khusus untuk kes Covid-19 pula, Dr Noor Hisham berkata, hanya Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor yang merekodkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus dengan masing-masing sebanyak 100 peratus dan 52 peratus.

Putrajaya merekodkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat Isnin iaitu 64 peratus.

Artikel Berkaitan:

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai yang direkodkan di seluruh negara pada Isnin adalah 0.084 dengan Selangor merekodkan kadar tertinggi iaitu 0.92 manakala Kelantan mencatatkan kadar paling rendah iaitu 0.65.