Tutup operasi ladang babi tak patuh syarat enakmen

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan bertindak lebih tegas terhadap pengusaha ladang babi yang tidak mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016 sehingga menyebabkan pencemaran melalui pelepasan air sisa dari ladang ternakan haiwan berkenaan ke dalam sungai.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata, antara kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh pengusaha ladang ialah kandang mestilah tertutup dan mempunyai pengurusan sisa kumbahan ladang.

"Enakmen ini berfungsi mencegah pencemaran bau dan air. Bermula Januari 2022, kerajaan negeri akan menutup operasi dan merobohkan ladang-ladang yang tidak mematuhi syarat-syarat ini.

"Ramai pengusaha ladang yang tidak ambil peduli tentang syarat ini. Kita perlukan sungai yang bersih sekiranya kita bergantung kepada sumber air,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.

Norlela telah diminta mengulas, mengenai hantaran dimuat naik di Facebook Menteri Air dan Alam Sekitar Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Isnin mengenai pencemaran Sungai Gertak Sanggul yang disebabkan oleh ladang ternakan babi.

Menurut Tuan Ibrahim, Jabatan Alam Sekitar telah melakukan siasatan dan punca pencemaran adalah disebabkan pelepasan air sisa daripada dua ladang ternakan babi di Mukim 8, Gertak Sanggul dan penternak memaklumkan akan menutup operasi dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pelesenan ladang babi di Pulau Pinang pada 2022 diluluskan kepada 62 ladang sahaja berbanding 143 ladang pada 2021.

Beliau berkata, mana-mana ladang yang telah mencapai lebih 50 peratus kemajuan dalam pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan untuk mematuhi syarat lesen, maka ladang berkenaan akan diberikan pertimbangan untuk kelulusan lesen penternakan secara bersyarat dan akan dibenarkan beroperasi.

Artikel Berkaitan:

"Selari dengan arahan tersebut, jabatan telah mengeluarkan kompaun terhadap 54 ladang babi dan 25 ladang telah secara suka rela untuk memberhentikan aktiviti penternakan dan dalam proses mengosongkan ladang,” katanya. - Bernama