Sindiket guna laluan gajah, kenderaan mewah seludup PATI

 Hazani Ghazali - Foto Bernama
Hazani Ghazali - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) kini disifatkan lebih terancang apabila menggunakan laluan yang lebih selesa dilalui kenderaan iaitu laluan gajah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, laluan berkenaan bagaimanapun merupakan jalan yang tidak diwartakan.

"Kegiatan penyeludupan PATI ini disifatkan lebih tersusun dan terancang, dahulunya mereka menggunakan laluan tikus, namun kini tidak lagi apabila sindiket sudah mula berani menggunakan laluan gajah.

"Mereka guna laluan gajah naik kereta mewah. Selain itu, ada yang dikesan ceroboh masuk ke dalam negara melalui perairan negara, juga masih berlaku yang kita namakan sebagai laluan dugong (laluan laut), masuk secara perlahan-lahan dan senyap," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Komander Briged Tengah PGA dan Komander Unit Tindakhas (UTK) di Briged Tengah PGA, Cheras di sini pada Isnin.

Hazani berkata, selain itu sindiket turut dikesan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah untuk membawa masuk dan keluar PATI.

"Sindiket dikesan menggunakan kenderaan MPV mewah seperti Toyota Alphard dan Vellfire untuk membawa PATI dari sempadan masuk ke dalam negara secara licik," katanya.

Beliau berkata, tangkapan melibatkan PATI turut mencatatkan peningkatan sepanjang Ramadan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Minggu lalu terdapat peningkatan yang terbaru di Kelantan apabila kita menahan 13 warga Myanmar termasuk transporter yang bertanggungjawab menyeludup masuk PATI berkenaan ke dalam negara," katanya.