Pakej PerantiSiswa beri nafas baharu buat pelajar B40

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia
Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan memberi kelegaan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) daripada golongan B40 meneruskan pembelajaran secara maya dengan lebih kondusif.

Rata-rata pelajar menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah proaktif dan memberi nafas baharu agar mereka tidak lagi tercicir dalam pembelajaran berikutan tidak dapat mengakses peranti elektronik tersebut sebelum ini.

Pelajar jurusan perakaunan Kolej Matrikulasi Kedah, M Deiviya, 19, meluahkan kegembiraan betapa bantuan berkenaan diperlukan sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan yang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat.

Dia yang sebelum ini terpaksa berkongsi komputer riba dengan abangnya bagi mengikuti pembelajaran dan menyiapkan tugasan, mengakui bahawa inisiatif berkenaan amat membantunya melancarkan proses pembelajaran.

"Saya gembira kalau dapat peranti itu dan ia dapat membantu dalam pembelajaran. Sebelum ini, kalau abang guna komputer riba, maka saya tidak dapat menyertai kelas dalam talian,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Senada dengan Deiviya, pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Nur Hamieza Zaky, 24, turut berasa teruja atas keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan pelajar kurang berkemampuan.

Menurutnya, dengan bantuan itu beliau tidak perlu lagi bimbang untuk menyiapkan tugasan kerana sebelum ini komputer ribanya semakin ‘uzur’ dan perlu dicas sepanjang masa berikutan masalah bateri.

"Komputer riba saya masih boleh digunakan tetapi saya risau kalau bekalan elektrik terputus sebab kalau kerja dah siap tetapi belum sempat disimpan akan hilang. Jika ini berlaku, saya terpaksa memperuntukkan lebih masa untuk siapkan semula tugasan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi pelajar jurusan Pengajian Bahasa Gunaan, UiTM Shah Alam, Nor Azizah Ismail, 23, bantuan PerantiSiswa tersebut dapat memudahkan tugasan beliau dan berazam untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan tersebut.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilapor berkata, permohonan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi pelajar IPT daripada golongan B40 akan dibuka mulai 15 April ini.

Annuar berkata, kira-kira 400,000 pelajar seluruh negara di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dijangka mendapat manfaat daripada program tersebut.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT. - Bernama