Polis siasat insiden Ronaldo hempas telefon penyokong Everton

Cristiano Ronaldo (kiri) menghempas sebuah telefon bimbit (dalam bulatan) milik seorang budak lelaki di Stadium Goodison Park, England pada Sabtu. - Foto @evertonhub/Twitter
Cristiano Ronaldo (kiri) menghempas sebuah telefon bimbit (dalam bulatan) milik seorang budak lelaki di Stadium Goodison Park, England pada Sabtu. - Foto @evertonhub/Twitter
A
A
A

POLIS melancarkan siasatan terhadap bintang bola sepak Manchester United, Cristiano Ronaldo yang didakwa menyerang seorang penyokong dengan memecahkan telefon bimbit dari tangannya berikutan kekalahan kelabnya selepas menentang Everton pada Sabtu.

Polis Merseyside pada Ahad merayu supaya saksi-saksi tampil memberikan keterangan kepada pihak berkuasa itu selepas rakaman di media sosial menunjukkan Ronaldo menghempaskan sebuah telefon bimbit milik peminat Everton ketika dia meninggalkan padang sejurus selepas kekalahan United 1-0 di Stadium Goodison Park.

"Kami boleh mengesahkan bahawa kami sedang berhubung dengan Kelab Bola Sepak Manchester United dan Everton FC berikutan laporan mengenai dakwaan serangan pada perlawanan bola sepak Everton melawan Manchester United di Goodison," kata jurucakap Polis Merseyside seperti dilaporkan AFP.

“Ketika pemain meninggalkan padang pada jam 2.30 petang, seorang budak lelaki dilaporkan telah diserang oleh salah seorang anggota pasukan pelawat ketika mereka meninggalkan padang.

“Siasatan sedang dijalankan dan pegawai polis sedang bekerjasama dengan Kelab Bola Sepak Everton untuk meneliti rakaman televisyen litar tertutup dan melakukan siasatan terhadap saksi-saksi untuk menentukan sama ada kesalahan telah berlaku.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi meja media sosial Polis Merseyside melalui Twitter @MerPolCC atau Facebook Pusat Hubungan Polis Merseyside dengan memetik nombor rujukan 228 pada 9 April 2022," tambah jurucakap berkenaan

Ibu penyokong berusia 14 tahun itu memberitahu Liverpool Echo bahawa anaknya yang autisme ditinggalkan dengan tangan yang lebam selepas kejadian itu.

Ronaldo mengeluarkan permohonan maaf atas kejadian tersebut dan menjemput budak lelaki itu menonton perlawanan di Old Trafford untuk menebus kesalahan. - Agensi

Artikel Berkaitan: