Malaysia-Thailand kerjasama perketat rondaan sempadan

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Thai Marine Police (TMP) bekerjasama erat dalam memperketatkan kawalan di sempadan negara.
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Thai Marine Police (TMP) bekerjasama erat dalam memperketatkan kawalan di sempadan negara.
A
A
A

TUMPAT - Malaysia-Thailand menerusi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Thai Marine Police (TMP) bekerjasama erat dalam memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang pembolosan jenayah rentas sempadan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kerjasama itu dilakukan dengan meningkatkan rondaan dan pemeriksaan rambang di sepanjang perairan kedua-dua negara terbabit.

“Pasukan polis sentiasa komited dalam usaha kesiapsiagaan kawalan di sempadan perairan negara bagi memastikan negara ini kebal daripada dibolosi jenayah.

“Hubungan yang rapat antara PPM Wilayah Tiga bersama pasukan sahabat dari negara jiran Thailand membolehkan perkongsian maklumat berkaitan aktiviti rentas sempadan dapat disalurkan dengan lebih berkesan pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja rasmi di sempadan negara di sini.

Rondaan dan kawalan di sempadan negara dipertingkatkan.
Rondaan dan kawalan di sempadan negara dipertingkatkan.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad dan Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Major Geneneral Waesamae Salaeh.

Kolaborasi rondaan bersama antara PPM Wilayah Tiga dan TMP turut melibatkan kerjasama dengan pasukan Thai Border Patrol (TBP).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, kemampuan aset PPM Wilayah Tiga digabungkan dengan kekuatan keanggotaan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) akan memantapkan lagi pengawalan keselamatan di sempadan sekali gus menjamin keselamatan persekitaran perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia terhadap aktiviti ekonomi negara.

“Kerjasama yang sedia terjalin menjadi satu platform mudah untuk perkongsian maklumat.

“Rondaan perairan yang melibatkan pasukan PPM bersama Polis Thailand, TMP dan TBP adalah norma baharu dalam memperkasakan kawalan sempadan perairan negara Malaysia – Thailand,” katanya.