Polis nafi bantu cubaan ceroboh tanah

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Polis Perak menafikan membantu agensi kerajaan dalam cubaan menceroboh tanah pertanian diusahakan penduduk berhampiran kawasan perindustrian Khantan, Chemor di sini sebagaimana tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kenyataan dimuat naik menerusi Facebook 'Jeyakumar Devaraj PSM' bertajuk 'Bebaskan Tan Tean Chee dengan serta-merta' itu adalah tidak benar dan diputar belit daripada kejadian sebenar.

Menurutnya, kenyataan dikesan dimuat naik pada Ahad itu menyebut kononnya agensi kerajaan dibantu polis cuba menceroboh masuk ke dalam kawasan tanah terbabit.

"Kenyataan itu dilihat sengaja dikeluarkan dengan niat jahat hendak mengapikan dan menghasut sentimen orang awam terhadap kredibiliti agensi kerajaan khususnya polis.

"Satu laporan polis telah diterima terhadap pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan itu dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, sepasukan pegawai daripada beberapa agensi kerajaan merancang untuk menjalankan kerja-kerja kajian tanah di Mukim Hulu Kinta berhampiran kawasan perindustrian berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja itu terpaksa ditangguhkan akibat dihalang oleh sekumpulan orang awam disyaki pekebun menggunakan kenderaan yang diletakkan di jalan masuk ke kawasan terbabit.

"Susulan dari kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat sehingga membawa kepada tangkapan ke atas seorang lelaki yang mewakili pekebun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 186 dan 341 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki itu telah kemudiannya telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu setelah prosedur siasatan selesai," katanya.

Mior Faridalathrash mengingatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan komen-komen tidak benar termasuk tuduhan tidak berasas terhadap mana-mana pihak melalui medium media sosial.

"Polis akan lebih tegas pada masa akan datang dalam mengendali kes-kes kenyataan yang mendatangkan khianat awam dalam memelihara keamanan dan kepentingan awam," katanya.