Kelab Backbencher GRS kini dikenali Backbencher BN-GRS

Salleh (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim dan Maahad Tahfiz pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Pengagihan Zakat Kumpulan Qhazanah Sabah di SICC, Kota Kinabalu.
Salleh (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim dan Maahad Tahfiz pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Pengagihan Zakat Kumpulan Qhazanah Sabah di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kelab Backbencher Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipengerusikan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak kini bertukar kepada Backbencher BN-GRS.

Perkara itu disahkan Salleh sendiri selepas kerajaan Sabah kini dikenali sebagai kerajaan GRS-BN susulan penubuhan GRS secara rasmi pada Mac lalu tanpa penyertaan daripada UMNO.

"Dengan sendirinya ia dikenali sebagai Backbencher BN-GRSlah. Saya memang mengalu-alukan perkembangan penubuhan GRS ini kerana kita harus menerima hakikat semasa bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) dulu, kita bertanding atas sebuah gabungan yang besar.

"Ketika itu BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan juga Perikatan Nasional (PN), jadi untuk kita menentukan gabungan tersebut dan akhirnya GRS ditubuhkan. Bagaimanapun UMNO tidak sebahagian daripadanya tetapi menyokong penubuhan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Pengagihan Zakat Kumpulan Qhazanah Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada malam Sabtu.

Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, melalui gabungan itu, ia akan menentukan kerajaan yang dipimpin stabil dan seterusnya dapat menunaikan tanggungjawab yang dijanjikan pada PRN lalu.

"Ketika ini kita mempunyai dua kumpulan yang besar tetapi yang penting untuk kita menentukan kerajaan stabil agar mereka boleh menunaikan tanggungjawab dan apa yang dijanjikan harus ditunaikan.

"Ini kerana kita yang akan berdepan dengan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, jadi penting pada saya ialah gabungan itu harus melaksaakan apa yang harus dilaksanakan terhadap rakyat Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Salleh sebelum ini secara terbuka mencadangkan supaya GRS didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi sebagai langkah mengukuhkan kerajaan yang dibentuk dalam PRN Sabah yang lalu.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung gambar beliau bersama beberapa pemimpin UMNO Sabah yang bertemu dengan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman pada Mac lalu, Salleh berkata, ia hanya pertemuan sebagai rakan lama dalam politik.

"Tan Sri Musa Aman banyak berjasa dengan negeri Sabah dan beliau ingin melihat agar kerjasama antara BN dan GRS diperkukuhkan lagi.

"Perkembangan politik berubah dan kita harus terima hakikat politik bukan statik, dia dinamik dan kita seharusnya melihat keadaan semasa apa lagi sekarang kita berdepan dengan anak-anak muda melalui undi 18 yang mempunyai citarasa berbeza," katanya.

Sehubungan itu, beliau menolak bahawa pertemuan itu mempunyai agendanya sendiri sebaliknya sebagai ahli politik perlunya keterbukaan dan tidak boleh berpecah.

"Saya ada banyak gambar, saya seorang ahli politik yang agak terbuka. Saya pernah ada gambar dengan Lim Guan Eng, dengan Anwar Ibrahim dan semua pihak kerana kita tidak boleh berpecah kerana perbezaan pendapat.

"Kita kena raikan perbezaan kita, pemimpin yang baik yang boleh menguruskan perbezaan," tegasnya.

Sebelum itu, menerusi gambar terbabit yang turut dihadiri Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan timbalannya, Datuk Yakub Khan tular bersama beberapa pemimpin UMNO lain tular di media sosial selepas ia dikongsikan sendiri melalui Facebook rasmi Bung Moktar.