[VIDEO] Imam berjubah lepas gian merempit ditahan

Seorang imam surau (atas, kiri) antara lapan penunggang motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan berasingan di Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Kesas, pada Ahad.
Seorang imam surau (atas, kiri) antara lapan penunggang motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan berasingan di Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Kesas, pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat seorang lelaki yang juga imam di sebuah surau melepas gian merempit bersama rakannya di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), di sini terbantut selepas ditahan polis pada Ahad.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aksi dua penunggang terbabit dikesan menerusi Ops Samseng Jalanan oleh sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman sebelum berjaya ditahan kira-kira jam 2 pagi.

"Pemantauan mendapati dua penunggang itu melakukan aksi superman, bersaing sesama sendiri dan zig-zag yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

"Polis telah menyita dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tegas Mohd Nadzri, kedua-dua penunggang berusia 20 dan 22 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.

Difahamkan, lelaki berusia 20 tahun dan juga bekas pelajar tahfiz itu baru selesai mengimamkan solat sunat tarawih di sebuah surau di Klang, malah aksi rempit itu dilakukannya dengan masih berpakaian jubah.

Dalam operasi berasingan, JSPT Bukit Aman turut menahan enam penunggang motosikal selepas dikesan melakukan lagak samseng jalanan di Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

Katanya, kesemua penunggang berusia 14 hingga 22 tahun itu masing-masing telah dibawa ke IPD Shah Alam dan IPD Klang Selatan.

Artikel Berkaitan:

"Polis akan terus melaksanakan operasi bagi mengekang kegiatan samseng jalanan yang boleh mengundang risiko kepada diri serta pengguna jalan raya lain," katanya.