Sos ‘ramuan rahsia’ Nasi Kerabu Along
KUALA TERENGGANU - Sos yang dimasak selama tiga hingga empat jam menjadi antara ‘rahsia’ keenakan juadah Nasi Kerabu Along yang dijual dekat Masjid Kampung Banggol Tuan Muda, Manir disini.
Peniaga, Mohd Zulhisyam Zukini, 31, berkata, sos itu adalah pelengkap yang akan diadun bersama dua lauk pilihan iaitu sotong dan ayam bakar.
“Sos ini dimasak selama tiga hingga empat jam sebelum disejukkan dan dijadikan pes untuk dibekukan. Ia digunakan ketika menyediakan juadah ini.
“Selain sos, ramuan rahsia sambal kelapa yang saya gunakan juga menambat hati pelanggan kerana kebanyakan daripada mereka biasanya akan membeli sos dan sambal kelapa tambahan bagi memenuhi selera masing-masing,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mohd Zulhisyam atau lebih dikenali sebagai Along berkata, sejak hari pertama berniaga pada Ramadan, lebih 200 bekas nasi kerabu yang menggunakan 15 kilogram (kg) beras, 12 ekor ayam dan 50 ekor sotong di gerainya habis dijual.
Katanya, nasi kerabu ayam bakar dijual pada harga RM5, nasi kerabu daging bakar (RM7) dan nasi kerabu sotong bakar (RM20 hingga RM26).
“Antara menu yang mendapat sambutan ramai ialah sotong bakar. Walaupun harga bagi menu sotong agak mahal namun ramai yang tetap beli sebab sotong yang digunakan ialah saiz A dan besar. Lauk sotong biasanya habis dalam masa dua jam sahaja.
“Sebelum ini harga bagi sekilogram sotong segar agak rendah namun kini setelah harga naik sehingga RM45, harga nasi kerabu sotong juga terpaksa dinaikkan antara RM20 hingga RM26,” jelasnya.
Mohd Zulhisyam berkata, setakat ini juadah yang mula dijual sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 itu hanya disediakan ketika Ramadan.
“Saya mula jual nasi kerabu ini sejak PKP sebab ketika itu pergerakan terbatas dan saya tidak boleh ke pejabat. Disebabkan permintaan terhadap makanan tinggi saya mula memikirkan satu menu yang dapat memenuhi selera orang ramai.
“Daripada situ, saya mula mencipta menu nasi kerabu dengan memberi keluarga dan rakan-rakan mencuba terlebih dahulu. Setelah mereka berpuas hati saya mula buka tempahan dan mula jual pada Ramadan tahun lalu,” ujarnya.
Menurut Mohd Zulhisyam, pada mulanya dia agak keberatan untuk berniaga pada Ramadan kali ini kerana kekangan masa namun diteruskan atas permintaan ramai.
“Saya teruskan jualan nasi kerabu pada Ramadan tahun ini sebab ramai yang kata teringin nak rasa.
“Mungkin lepas ini saya akan pertimbangkan untuk buka gerai pada hari biasa,” katanya yang mempunyai empat pekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!