RM29.91 juta untuk bantuan prihatin Pahang, bantu 297,013 penerima

Wan Rosdy (kiri) Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang dan sumbangan Ihya Ramadan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Lipis pada Sabtu. - Foto Bernama
Wan Rosdy (kiri) Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang dan sumbangan Ihya Ramadan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Lipis pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

LIPIS - Kerajaan Pahang pada Sabtu mengumumkan peruntukan sebanyak RM29.91 juta untuk Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 yang akan memanfaatkan 297,013 penerima bersasar.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, agihan bantuan itu akan berlangsung selama empat bulan mulai bulan ini dan melibatkan pemberian dalam bentuk wang tunai RM100 hingga RM300 mengikut kategori, agihan kotak Aidilfitri dan kad tambah nilai prabayar RM100.

Beliau berkata, bantuan tersebut melibatkan empat kluster iaitu pelajar dan anak muda; golongan B40 termasuk gelandangan, nelayan, pemandu teksi dan ibu tunggal; kluster umum melibatkan peneroka, penjaja harian, Orang Asli, pengusaha bot dan pemandu pelancong serta kluster apresiasi terdiri daripada veteran tentera dan polis.

"Pemberian BPP 2022 dapat dilaksanakan kerana kedudukan kewangan kerajaan negeri yang berada di tahap kukuh dan seperti saya sering katakan, setiap hasil yang diperoleh akan dipulangkan semula kepada rakyat sebagai berkongsi rezeki demi kesejahteraan bersama.

"Malah jika sasaran hasil RM1 bilion tahun ini berjaya dicapai, tidak mustahil kerajaan negeri akan meneruskan BPP dan juga pemberian bantuan-bantuan lain untuk rakyat Pahang," katanya pada sidang media selepas menyampaikan BPP dan sumbangan Ihya' Ramadan di Laman Sejahtera Jelai di sini pada Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Noor dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

Penerima yang layak menerima bantuan wang tunai RM300 ialah penggiat media sosial dan antara penerima RM200 ialah veteran polis dan tentera, nelayan, penjaja harian, pemandu teksi dan anak Pahang yang berjaya ke universiti, manakala RM100 pula disalurkan kepada pelajar tahfiz, gelandangan di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan serta pelajar darjah satu.

Seramai 25,871 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pula menerima sumbangan RM100 dalam bentuk kad tambah nilai prabayar, manakala kotak Aidilfitri bernilai RM50 setiap satu diagihkan menerusi Tok Batin dan Jawatankuasa

Artikel Berkaitan:

Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR).

Tahun lepas, kerajaan Pahang membelanjakan RM75.03 juta bagi membantu rakyat terkesan wabak COVID-19 termasuk RM31.3 juta yang diagihkan menerusi pakej BPP yang dilaksanakan menerusi empat fasa secara bersasar.

Sementara itu, ditanya mengenai pemberian bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam negeri, Wan Rosdy berkata perkara itu dalam pertimbangan selepas saluran bantuan kepada rakyat berjaya diselesaikan. - Bernama