X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

MNS kesal sarang helang laut dimusnahkan

Seekor helang laut dilihat sedang membuat sarang di sebuah menara telekomunikasi di Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) kesal atas tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang memusnahkan habitat helang laut atau haliaeetus leucogaster yang bersarang di menara telekomunikasi di tiga daerah iaitu Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Setiu.

MNS Cawangan Terengganu melalui kenyataan pada Sabtu berkata, tindakan itu menyebabkan kemusnahan habitat hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah (Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, 2014) itu tidak wajar berlaku.

"Pada November 2021, sepasang helang laut dilihat membuat sarang di sebuah menara telekomunikasi di Hulu Terengganu. Pada 31 Januari 2022 pula, sarang yang sama mengandungi sebiji telur dan seekor anak burung baru menetas.

"Sepasang burung jantan dan betina juga dilihat kerap membawa makanan dan kembali ke sarang tersebut namun pada 16 Februari, sarang aktif yang mengandungi anak burung hidup itu telah hilang," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, perkara yang sama dilihat berlaku di Kuala Nerus membabitkan sarang burung helang laut berusia beberapa tahun dan dilihat mengandungi seekor anak burung pada 14 Mac dimusnahkan pada 18 Mac lalu.

"Kita menjangkakan sarang burung tersebut telah dimusnahkan atau anak burung diperdagangkan secara haram oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

"Ia bukan perkara baru. Pada Januari 2021, MNS Terengganu pernah memaklumkan bahawa sarang aktif yang mengandungi anak burung spesies helang yang sama juga telah dimusnahkan oleh pengendali di sesebuah menara telekomunikasi di Merang di Setiu," jelas kenyataan tersebut.

Seekor helang laut dikesan menjadikan sebuah menara telekomunikasi di Terengganu sebagai habitat untuk membina sarang.
Seekor helang laut dikesan menjadikan sebuah menara telekomunikasi di Terengganu sebagai habitat untuk membina sarang.

Justeru, MNS berharap syarikat telekomunikasi di negara ini mempunyai tanggungjawab untuk beroperasi tanpa mengakibatkan kemusnahan hidupan liar.

Kata kenyataan itu lagi, negara lain mempunyai protokol yang menyokong kewujudan bersama manusia dan hidupan liar melibatkan menara telekomunikasi khususnya tempat pembiakan beberapa burung pemangsa liar.

MNS menjelaskan, menara berkenaan menjadi pilihan burung pemangsa kerana mempunyai platform yang stabil, lokasi yang strategik serta ketinggian optimum menyebabkan burung spesis itu cenderung menggunakan semula sarang yang sama setiap tahun.

"Antara yang boleh dilakukan ialah mengubahsuai struktur menara seperti menambahkan platform di lokasi yang lebih selamat dan jauh daripada peralatan yang digunakan oleh pekerja penyelenggara menara.

"Selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk merakam kitaran pembiakan burung pemangsa boleh dilakukan malah penyiaran rakaman secara langsung dapat mempamerkan usaha pemuliharaan binatang liar oleh syarikat-syarikat telekomunikasi," jelas kenyataan tersebut.

Selain itu katanya, terdapat pelbagai cara untuk sesebuah menara beroperasi dengan selamat apabila burung pemangsa memilih untuk bersarang di situ.

Jelasnya, jika sarang aktif ditemui, spesies burung yang dilindungi sepenuhnya itu tidak boleh dimusnahkan tetapi perlu dibiarkan tanpa gangguan sehingga anak burung itu terbang meninggalkan sarangnya.

"Sebaik sahaja ia meninggalkan sarang, kerja-kerja penyelenggaraan menara boleh dijalankan. Jika lokasi sesebuah sarang burung bakal menjadi masalah serius terhadap keselamatan dan operasi menara, tinjauan berkala boleh dilakukan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!