Terkilan gagal selamat ayah

Muhammad Aqil Afif (kiri) dan adiknya, Muhammad Aqif Zahin serta Mohd Nasir menceritakan kejadian yang berlaku ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Sabtu.
Muhammad Aqil Afif (kiri) dan adiknya, Muhammad Aqif Zahin serta Mohd Nasir menceritakan kejadian yang berlaku ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - "Api tiba-tiba menyambar ketika ayah cuba membaiki dapur gas," kata Muhammad Aqil Afif Mohd Asri,13, anak sulung mangsa yang maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Lorong Kampung Padang Perdana 6 malam Jumaat lalu.

Muhammad Aqil berkata, selepas api menyambar, dia melihat bapanya, Mohd Asri Idris, 39, keluar dari dapur tetapi masuk semula untuk cuba memadamkan api tetapi terperangkap.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goh itu, dia cuba masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan bapanya tetapi gagal kerana api sedang marak.

"Saya terkilan kerana gagal selamatkan ayah dan dia terkorban dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di perumahan sama pada Sabtu.

Bagaimanapun, Muhammad Aqil sempat menarik keluar adiknya, Muhammad Aqid Aisy, 8, yang sedang tidur di dalam bilik manakala ibunya, Nor Atikah Adnan, 39, berjaya keluar menyelamatkan diri

Dua lagi adiknya, Muhammad Aqif Zahin, 10, dan Muhammad Aniq Rizqi, 4, juga berjaya diselamatkan.

Dalam kejadian itu, Muhammad Aqid Aisy cedera dengan kesan melecur dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Mohd Nasir Mohd Amin, 57, menyedari kejadian kira-kira jam 11 malam selepas Muhammad Aqil Afif berlari menemuinya sambil menjerit memberitahu rumahnya terbakar.

Artikel Berkaitan:

"Rumah kami hanya kira-kira 100 meter sahaja. Ketika itu keadaan kelam kabut dan adi ipar saya terperangkap dalam rumah..

"Kami tidak mampu membantu kerana api marak tetapi ada penduduk menghubungi pihak bomba untuk bantuan," katanya.

Mohd Nasir berkata kali terakhir dia berbual dengan mangsa Rabu lalu ketika Allahyarham datang membantu mengecat rumahnya tetapi tiada sebarang perubahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa yang juga pesara tentera laut itu di temui oleh anggota bomba dalam keadaan melecur di dalam bilik air bahagian dapur rumah tersebut.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat dan pemeriksaan fizikal mendapati kematiannya tidak melibatkan unsur jenayah.

"Punca kebakaran rumah tersebut masih dalam siasatan pihak bomba," katanya.