Berucap dalam BM, Duta New Zealand buatkan himpunan sayu

Hunter Nottage
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Berucap dalam Bahasa Melayu, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage menjadikan Perhimpunan Soladariti Kedamaian #Soladarity4Peace yang berlangsung di Dataran Merdeka pagi ini bertambah sayu.

Katanya, New Zealand sangat bersedih ketika ini disulami ucapan terima kasih Malaysia membuatkan para peserta yang hadir ada yang turut menitiskan air mata susulan perbuatan keganasan yang dilakukan pengganas di negara berkenaan baru-baru ini.

"New Zealand sangat bersedih, terima kasih di atas himpunan solidariti ini Malaysia," katanya ketika berucap di Dataran Merdeka pagi ini.

Ucapan yang turut disertakan dalam Bahasa Inggeris itu turut menyeru agar semua orang menolak aktiviti keganasan.

Perhimpunan aman itu diadakan susulan tragedi berdarah serangan pengganas di dua masjid berasingan di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lepas.

Kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum, malah ada yang membawa keluarga masing-masing, selain membawa kain rentang #Solidarity4Peace.