Penstrukturan semula lebuh raya: ALR jamin tiada pekerja diabaikan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Amanat Lebuh Raya Rakyat Berhad (ALR) memberi jaminan tiada warga kerja di keempat-empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP) akan diabaikan dalam proses pengambil alihan.

Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama lima pemegang saham dan Pengarah ALR iaitu Tan Sri Azlan Mohd Zainol, Datuk Idrose Mohamed, Datuk Ir Soam Heng Choon, Datuk Dr Nirmala Menon dan Datuk Mohamed Sharil Tarmizi yang mengesahkan ALR telah membuat tawaran untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti syarikat konsesi berkaitan empat lebuh raya, dengan nilai perusahaan agregat sebanyak RM5.48 bilion.

"Pengambil alihan ini akan merangkumi semua infrastruktur dan aset yang sedia ada di keempat-empat lebuh raya tersebut termasuklah warga kerja syarikat-syarikat konsesi tersebut.

"Ia merupakan sebahagian daripada cadangan penstrukturan semula tol bagi empat lebuh raya tersebut, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 4 April 2022," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan sama menegaskan, dalam mana-mana penstrukturan semula tol, tempoh konsesi perlu dilanjutkan bagi mengimbangi kehilangan pendapatan bagi syarikat-syarikat konsesi dan pembayaran balik kesemua hutang-hutang pemegang Sukuk.

Justeru, cadangan pengambil alihan tersebut adalah berdasarkan dua faktor yang bertujuan mengurangkan tempoh lanjutan konsesi iaitu pemegang saham ALR tidak memerlukan sebarang pulangan ekuiti dan mengurangkan kos modal melalui pembiayaan hutang.

"Berdasarkan Perlembagaan ALR, dokumen pembiayaan dan aku janji kepada kerajaan, pemegang saham tidak berhak untuk menerima sebarang dividen. Sehubungan dengan ini, tidak ada keperluan untuk memanjangkan lagi tempoh konsesi sebaik sahaja kesemua hutang ALR telah dibayar sepenuhnya.

"Tanpa keperluan untuk membayar dividen kepada pemegang saham, aliran tunai bebas syarikat konsesi boleh disalurkan sepenuhnya ke arah menyelesaikan obligasi pembiayaan hutang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa kelima-lima mereka bebas dan tidak berkait dengan kerajaan atau pemegang saham syarikat konsesi yang sedia ada.

Selain itu, mereka mengesahkan tidak mewakili mana-mana parti politik mahupun sekutunya.