Gagal akses akaun, Roger Ng dan isteri fail saman terhadap 2 bank

Roger Ng - Foto Agensi
Roger Ng - Foto Agensi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa dan isterinya, Lim Hwee Bin memfailkan saman terhadap dua bank berhubung dakwaan tidak membenarkan pasangan suami isteri itu mendapatkan akses secara langsung kepada akaun-akaun bank mereka.

Ng, 50, yang turut dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lim, 51, masing-masing selaku plaintif memfailkan dua saman itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan Tan Hock Chuan & Co pada 27 Januari lepas, dengan menamakan RHB Bank Berhad (RHB Bank) dan Malayan Banking Berhad (Maybank) sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, pasangan suami isteri itu memohon perintah supaya defendan-defendan, dengan segera membenarkan mereka mendapatkan akses langsung kepada dua akaun RHB Bank dan lima akaun Maybank milik mereka dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.

Selain itu, kedua-dua plaintif memohon perintah agar defendan-defendan membekalkan salinan penyata-penyata akaun bulanan bagi RHB Bank dan Maybank, dari Mac 2019 sehingga tarikh perintah mahkamah itu kepada plaintif termasuk maklumat mengenai faedah bulanan atau tahunan dalam akaun-akaun tersebut.

Pasangan itu juga menuntut defendan membayar ganti rugi khas sebanyak RM100,000 daripada RHB Bank dan Maybank, termasuk ganti rugi am dan teladan serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Menurut pasangan suami isteri itu, pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi di sini, untuk melucut hak wang di dalam akaun Maybank dan RHB Bank, namun pada 8 November tahun lepas mahkamah telah menolak permohonan pelucuthakan tersebut, yang mana pihak pendakwaan telah gagal menunjukkan akaun-akaun bank berhubungan dengan kesalahan hasil daripada aktiviti haram.

Selepas keputusan Mahkamah Tinggi itu, Lim telah pergi ke Maybank (cawangan Plaza Damansara) dan RHB Bank (cawangan Bangsar Shopping Centre Office Tower), untuk menuntut akses langsung kepada akaun-akaun tersebut.

"Bagaimanapun, defendan-defendan telah gagal, cuai dan enggan membenarkan plaintif mendapatkan akses langsung kepada akaun-akaun tersebut,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Artikel Berkaitan:

Pasangan itu kemudiannya telah menyampaikan notis tuntutan melalui peguamcara mereka kepada Maybank dan RHB Bank pada 18 November tahun lepas, yang menuntut supaya defendan-defendan membenarkan plaintif-plaintif mendapatkan akses langsung kepada akaun-akaun itu, namun defendan gagal berbuat demikian.

Dakwa plaintif, mereka telah dinafikan hak untuk mengakses kepada akaun-akaun bank mereka, selain mendakwa memerlukan wang untuk membayar perbelanjaan harian termasuk bil perubatan, yuran pendidikan anak perempuan mereka, penjagaan rumah dan pinjaman-pinjaman peribadi.

"Oleh sebab kegagalan, kecuaian dan keengganan defendan-defendan untuk membenarkan plaintif-plaintif mendapatkan akses langsung kepada akaun-akaun tersebut, mereka mengalami kerugian kewangan termasuk bagi kegunaan wang dalam akaun-akaun bank itu,” dakwa pasangan terbabit.

Sementara itu, Maybank dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 23 Mac lepas, mendakwa Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, dan mengarahkan supaya akaun-akaun itu kekal disita di bawah perintah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Menurut Maybank, oleh kerana prosiding pelucuthakan kini di peringkat rayuan, akaun-akaun itu hendaklah kekal disita sehingga pelupusan muktamad prosiding berkenaan. RHB Bank menerusi pernyataan pembelaan difailkan pada 10 Mac lepas pula mendakwa, permohonan pelucuthakan masih diteruskan melalui rayuan dan pihak-pihak berkuasa masih belum membatalkan atau mengubah perintah penyitaan dan wang berkenaan akan kekal disita.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes saman terhadap Maybank ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Mei manakala bagi RHB Bank, pengurusan kes adalah pada 13 Julai. - Bernama