Mengaku mualaf kutip derma di bazar Ramadan

Pengemis (tengah) yang mendakwa dirinya mualaf sebagai modal mengutip derma di bazar Ramadan PKNS.
Pengemis (tengah) yang mendakwa dirinya mualaf sebagai modal mengutip derma di bazar Ramadan PKNS.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki menulis pada sekeping kertas mendakwa dirinya mualaf untuk dijadikan sebagai modal mengutip derma di bazar Ramadan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini.

Tinjauan Sinar Harian di bazar Ramadan berkenaan pada Rabu mendapati, selain individu terbabit, terdapat seorang lagi individu cacat penglihatan menjual tisu bagi meraih simpati limpahan pengunjung bazar.

Rata-rata pengunjung ditemui Sinar Harian menyifatkan amalan bersedekah dan menderma pada bulan Ramadan amat digalakkan lebih-lebih lagi ia mampu membantu golongan yang tidak bernasib baik.

Namun, mereka bimbang adakah individu yang meminta derma itu benar-benar dalam kategori orang yang memerlukan atau sekadar sandiwara bagi meraih 'wang ekspres' ketika Ramadan sahaja.

"Ia tidak mustahil kerana semua sudah maklum dengan kemurahan hati umat Islam pada bulan mulia ini dan itu yang kita bimbang jika ada pihak mengambil kesempatan," kata pengunjung, Izhar Ariff, 46.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Hasnah Haron, 32, berkata, golongan terbabit sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan dan bukannya dengan mengutip derma.

"Kita bimbang jika ia tidak dikawal selepas ini akan ada pengemis warganegara asing pula yang berkeliaran dan keadaan ini tidak elok di mata masyarakat," katanya kakitangan swasta berkenaan.

Sementara itu, seorang peniaga bazar Ramadan hanya mahu dikenali sebagai Muhamad berkata, peminta sedekah berkenaan hanya muncul ketika waktu puncak kerana kemungkinan bimbang kehadiran mereka menarik perhatian pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Kalau sekali tengok memang tak perasan tetapi disebabkan dia pegang kertas tertulis perkataan mualaf baru saya faham dia mahu mengutip derma," katanya yang berniaga lauk-pauk di bazar itu.

Dalam perkembangan berasingan, keadaan di bazar Ramadan di Kompleks PKNS meriah dengan kunjungan orang ramai sejak hari pertama beroperasi.

Tinjauan di lokasi juga mendapati pengunjung dan peniaga memakai pelitup muka, namun keadaan yang sedikit sesak menyebabkan mereka sukar untuk menjaga penjarakan fizikal.

Namun, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal di tiga pintu masuk bagi memastikan pengunjung mengimbas kod bar MySejahtera sebelum dibenarkan masuk ke bazar.

Selain itu, penganjur turut meletakkan penghadang dua laluan sehala supaya tiada pertembungan antara pengunjung yang masuk dan keluar ke bazar berkenaan.