Upah RM1,700 angkut PATI

Cubaan seorang lelaki yang menjadi 'transporter' dengan menerima upah RM1,700 untuk menyeludup keluar empat PATI wanita warga Thailand dari negara jiran menjerat diri apabila dicekup PGA pada Rabu.
Cubaan seorang lelaki yang menjadi 'transporter' dengan menerima upah RM1,700 untuk menyeludup keluar empat PATI wanita warga Thailand dari negara jiran menjerat diri apabila dicekup PGA pada Rabu.
A
A
A
RANTAU PANJANG - Cubaan seorang lelaki yang menjadi 'transporter' dengan menerima upah RM1,700 untuk menyeludup keluar empat pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita warga Thailand dari negara jiran menjerat diri apabila dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Rabu.

Lelaki tempatan berusia 37 tahun itu dicekup anggota Batalion 7 PGA Kuantan dan Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa pada jam 9.15 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kesemua PATI dan 'transporter' itu ditahan semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu.

"Semasa melalui SJR itu, kita telah menahan sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang dipandu dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu warga tempatan itu telah menjumpai empat PATI wanita.

Beliau berkata, PATI yang ditahan itu berusia antara 29 hingga 38 tahun.

Azhari berkata, pemeriksaan lanjut ke atas penumpang berkenaan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Siasatan awal kita tidak menolak kemungkinan PATI itu cuba keluar dari Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok dekat sempadan Malaysia-Thailand di sekitar Rantau Panjang, Kelantan.

"Siasatan awal turut mendapati PATI yang ditahan dibawa dari Pulau Pinang dan Selangor dikenakan bayaran RM1,700 oleh pemandu kenderaan tersebut yang berperanan sebagai ‘transporter’ dalam menguruskan PATI keluar dari Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain Proton Exora, enam unit telefon bimbit dan juga wang tunai berjumlah RM4,643 turut dirampas.

"Kes disiasat bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63," katanya.