Pecah masuk rumah jiran pakai boxer

Penularan imej suspek di media sosial. (Gambar kecil: Samsor Maarof)
A
A

BATU CAVES - Seorang lelaki dikesan pecah masuk rumah jirannya dengan hanya memakai 'boxer' dalam kejadian di Taman Raintree di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, pemilik rumah ternampak kelibat suspek berusia 27 tahun itu yang berada di dapur ketika wanita berusia 45 tahun itu hendak keluar rumah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek yang panik ketika itu melompat keluar dari tingkap menyelamatkan diri dari ditangkap.

"Mangsa mengenali suspek disebabkan lelaki itu turut tinggal di kondominium sama, di tingkat satu.

"Suspek bagaimanapun tidak sempat melarikan barangan berharga selepas hasil pemeriksaan pemiliknya mendapati tiada barang yang hilang," katanya mengulas penularan gambar suspek di media sosial yang sedang diburu susulan beberapa kejadian pecah rumah sekitar Batu Caves dan Gombak.

Penularan berita itu dikesan sejak semalam menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Samsor menafikan suspek mempunyai 13 rekod jenayah termasuk samun bersenjata seperti ditularkan.

"Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan Akta Dadah Berbahaya dan bukan seperti ditularkan.

Pihak polis tidak menularkan gambar suspek dan tidak bertanggungjawab dengan penularan berita tersebut.

"Suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesan serta menangkapnya sedang dijalankan di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah," katanya.