Penganggur didakwa perdaya jual beli telefon bimbit

Tertuduh diiring polis sebaik tiba di mahkamah
Tertuduh diiring polis sebaik tiba di mahkamah
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu atas 10 pertuduhan memperdaya dan menipu dalam urusan jual beli telefon bimbit berjumlah RM26,150 sejak tahun lalu.

Tertuduh A Jegathis, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut sembilan pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah memperdaya sembilan mangsa dengan sengaja mempercayainya telah membuat pembayaran bagi pembelian pelbagai jenis telefon bimbit.

Tertuduh telah menunjukkan tangkap layar transaksi pindahan wang yang telah diubah suai yang telah menyebabkan mangsa menyerahkan telefon bimbit tersebut dengan nilai keseluruhan berjumlah RM22,850.

Perbuatan itu dilakukan antara 18 Disember 2021 hingga 22 Januari 2022 di pelbagai lokasi di daerah ini.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda jika disabit bersalah.

Selain itu tertuduh didakwa telah menipu seorang wanita yang telah membuat pembayaran RM3,300 ke dalam akaun banknya dengan menunjukkan tangkap layar transaksi pindahan wang yang telah diubah suai yang mana mangsa tidak akan menyerahkan telefon bimbit jenis IPhone 13 jika tidak diperdayakan.

Kesalahan itu dilakukan pada 17 Februari 2022 di Stesen Bas Terminal One Seremban.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan(YBGK), Noor Azizi Abdull Aziz merayu tertuduh diberi jaminan rendah atas alasan dia mempunyai 10 pertuduhan selain penjaminnya ialah isteri.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM26,500 bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes 21 April ini.