Berbelanja secara 'cashless' di pasar Ramadan, bazar Aidilfitri

Sistem pembayaran tanpa tunai diperkenalkan dalam urusan niaga jual beli di 25 lokasi pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di Kuantan. (Gambar kecil: Hamdan)
Sistem pembayaran tanpa tunai diperkenalkan dalam urusan niaga jual beli di 25 lokasi pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di Kuantan. (Gambar kecil: Hamdan)
A
A
A

KUANTAN - Sistem pembayaran tanpa tunai (cashless) diperkenalkan dalam urusan niaga di 25 lokasi melibatkan pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di daerah ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin berkata, peniaga dan pembeli boleh membuat urus niaga pembayaran jual beli menggunakan aplikasi e-dompet Boost (e-Wallet Boost) dengan mengimbas kod respons pantas (QR).

“Orang ramai yang memuat naik aplikasi ini boleh membeli barang di bazar tanpa perlu mengeluarkan wang tunai tetapi dengan hanya mengimbas kod QR.

"Ini memudahkan peniaga dan tidak perlu bimbang tiada pulangan wang kecil kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau menjelaskan, sistem pembayaran itu diperkenalkan bagi mendidik masyarakat agar mengguna pakai aplikasi dan kemudahan teknologi digital dalam kehidupan harian terutama ketika melakukan aktiviti jual beli.

“Kita mengharapkan budaya yang cuba diwujudkan dalam kalangan peniaga ini sebagai contoh transaksi secara cashless akan dapat mendidik pengguna kerana tempoh Covid-19 ini kita dapat melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan digital.

"Jadi, kita yakin digital juga adalah satu perkara yang menjadi teraju kepada penggerak ekonomi, oleh sebab itu perkara ini juga amat baik dari segi penjagaan SOP,” katanya.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, kempen-kempen lain seperti Bandar Hijau - Kuantan Go Green, Kitar Semula Minyak Terpakai, Bebas Plastik (No To Plastic), amalan 3R (kurang, guna semula dan kitar semula) dan Tak Nak Merokok turut dilaksanakan oleh pihaknya.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu masyarakat dari semua golongan termasuklah peniaga, penjaja, pengusaha dan pengguna dapat menyambut baik perlaksanaan kempen ini dalam usaha mewujudkan masyarakat yang sihat, produktif dan mampu melahirkan modal insan yang dapat meneraju pembangunan pada masa hadapan," ujarnya.