Harga ayam RM8 sekilogram, bantu pembeli berjimat

Program Intervensi Harga Makanan PKPS dilaksanakan dalam usaha membantu rakyat mendepani isu kenaikan harga barang.
Program Intervensi Harga Makanan PKPS dilaksanakan dalam usaha membantu rakyat mendepani isu kenaikan harga barang.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Tawaran harga ayam RM8 sekilogram (kg) menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membantu pengguna mendepani isu kenaikan harga ayam yang didakwa mahal kebelakangan ini.

Seorang peniaga ayam di Pasar Borong Selangor, Nazirah Mohd Noor, 50, berkata, program itu membolehkan pembeli mendapat penjimatan sehingga RM2.50 bagi seekor ayam manakala peniaga turut menerima manfaat melalui potongan sewa gerai.

Nazirah
Nazirah

"Harga siling ayam RM8.90 sekilogram tapi menerusi program tersebut kami perlu jual dengan RM8 manakala baki 90 sen akan ditolak dalam akaun sewa gerai kami.

"Subsidi tersebut membolehkan kami menampung sewa gerai pada masa sama pembeli juga dapat beli ayam dengan harga murah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Jelasnya, sambutan diterima dalam kalangan pengguna menggalakkan apabila ramai memberikan maklum balas positif.

"Semakin ramai pembeli yang tahu mengenai program ini dan kebiasaannya pada hujung minggu jualan harga ayam subsidi ini dapat dihabiskan kurang sejam.

"Setiap hari PKPS ada tetapkan kuota mengikut borang yang diedarkan dan setiap pembeli dihadkan kepada dua ekor ayam sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi peniaga, Azmi Zainal, 54, berkata, awalnya program tersebut ditawarkan kepada semua peniaga Pasar Borong Selangor sebelum diteruskan kepada lima peniaga terpilih.

Azmi
Azmi

"Program ini bagus kerana membantu pembeli cuma disebabkan harga ayam tengah mahal sekarang jadi ia agak membebankan peniaga. Walaupun tidak rugi namun margin untung jadi sikit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, program Program Intervensi Harga Makanan Ehsan akan diteruskan sehingga hujung Ramadan.

Menurutnya, sejumlah RM178,600 diskaun telah diberikan dalam tempoh dua bulan bermula 8 Februari hingga 4 April di bawah program tersebut termasuk tawaran harga rendah bagi ikan, daging, ayam dan telur.

Jelasnya, sebanyak 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dijelajah di bawah program tersebut dengan setiap kawasan diperuntukkan kuota 800 ekor ayam, 500 papan telur, 10kg daging dan 100kg ikan.