Polis buru dua suspek samun rantai emas

Kejadian samun di Taman Suria Indah, Tanjong Karang di sini dirakam CCTV pada Isnin.
Kejadian samun di Taman Suria Indah, Tanjong Karang di sini dirakam CCTV pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis memburu dua lelaki disyaki terbabit dalam kejadian samun di Taman Suria Indah, Tanjong Karang di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan, Mohd Ambia Nordin berkata, kejadian jam 6.58 pagi itu berlaku selepas suspek meragut rantai leher mangsa semasa berada di luar rumah.

Menurutnya, dalam kejadian itu dua suspek terbabit menaiki motosikal dan bertopi keledar sebelum salah seorang menghampiri mangsa.

"Salah seorang suspek meragut rantai emas milik mangsa dan kemudian beredar menaiki motosikal tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Ambia berkata, sehingga kini, polis masih mengesan suspek dan tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal berkenaan.

"Sekiranya orang awam mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor, Nur Fatmaliani Mohamed di talian 013-671 6323 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan iaitu samun bersenjata," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian samun terbabit.

Artikel Berkaitan:

Dalam rakaman CCTV durasi satu minit 23 saat itu menunjukkan seorang wanita dan beberapa kanak-kanak memakai uniform sekolah berada di luar rumah berhampiran sebuah kereta.

Selang beberapa saat, dua suspek bertopi keledar yang menaiki motosikal berhenti berhampiran mangsa.

Salah seorang daripada suspek mendekati mangsa kemudian meragut rantai emas dan bertindak melarikan diri.